Perak tubuh Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi bantu rakyat terima limpahan WCE

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menubuhkan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), dalam usaha memaksimumkan limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan beliau itu antara lain meneliti cadangan pembangunan strategik di lima daerah yang menerima kesan langsung projek berkenaan.

Menurut Saarani, lima daerah yang menerima kesan langsung daripada projek tersebut merupakan Daerah Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung serta Daerah Larut, Matang dan Selama.

“Terdapat beberapa cadangan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan khususnya melibatkan lima daerah itu.

“Ini usaha kita kerana selain memberikan keselesaan dan penyuraian trafik kepada pengguna jalan raya, Lebuhraya WCE juga berperanan sebagai pemangkin untuk merancakkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi sekaligus membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Zafarulazhan Zan (PN-Kampong Gajah) sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata, pembangunan kawasan baharu di lokasi strategik sepanjang WCE di negeri ini turut mengambil kira pekan-pekan sedia ada bagi dibangunkan secara bersepadu.

Ujar beliau, misalnya Daerah Hilir Perak di mana kerajaan negeri merangka pembangunan di sepanjang jajaran WCE melibatkan kawasan sepanjang 16 kilometer di Mukim Sungai Durian iaitu Pekan Kecil Sungai Durian, Zon Akuakultur Hilir Perak, Floating Market Teluk Intan dan Halal-Hub Teluk Intan.

“Berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Bagan Datuk 2035, kawasan di sekitar radius lima kilometer dari persimpangan WCE ini akan dibangunkan secara berpusat merangkumi komponen perumahan terancang, komersial, industri dan institusi pengajian tinggi (Institut Penyelidikan Perikanan).

“Pembangunan WCE turut merentasi daerah Kecil Kampong Gajah (Perak Tengah) sepanjang 12 kilometer iaitu persempadanan antara Teluk Intan dan Manjung.

“Pembangunan di jajaran ini terdiri daripada kawasan kampung, rancangan perumahan tersusun, kawasan perniagaan serta pertanian seperti kelapa sawit dan jelapang padi,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan di daerah Manjung pula akan melibatkan perancangan seperti sektor perumahan seperti Rumah Perakku Lekir dan Sitiawan, MyBN Home Lekir, Pembangunan Bandar Baru Setia Awan Perdana dan Projek Perumahan MB Inc di Lekir yang melibatkan jumlah keseluruhan 12,125 unit rumah.

Ujarnya, sektor perindustrian dan pertanian juga menjadi nadi ekonomi baru di daerah itu terutama dengan pelaksaan Projek Taman Industri Halal Perak melibatkan 43 hektar di Lekir serta Lembah Makanan di Beruas yang menfokuskan kepada pelbagai jenis tanaman seperti durian dan buah-buahan tempatan,

“Bagi daerah Larut Matang dan Selama, beberapa aktiviti menaik taraf dan penyelenggaraan kawasan tarikan pelancongan sedang giat dijalankan.

“Usaha itu meliputi kawasan di sekitar Trong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang seperti menaiktaraf Jeti Kelip-kelip Kg Dew, serta membaikpulih Makam Long Jaafar yang mempunyai nilai dan tarikan sejarah kepada pelancong-pelancong yang berkunjung di Taiping,” katanya.

Lebuhraya WCE merupakan sebuah projek infrastruktur negara yang dilaksanakan secara penswastaan dengan jarak keseluruhan 233 kilometer.

Projek ini melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya di sepanjang kawasan Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang di Negeri Selangor dan seterusnya menyambung jajarannya di Negeri Perak di kawasan Hutan Melintang, Teluk Intan, Manjung, Beruas sehinggalah ke Taiping. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

WCE Beruas-Taiping Selatan, dijangka dibuka menjelang Aidilfitri

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI