Perak umum BKK Hari Raya penjawat awam negeri RM1,500

IPOH – Kerajaan Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,500 kepada 11,261 penjawat awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan khas itu turut diberikan kepada  Exco Kerajaan Negeri, Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan, pegawai lantikan kontrak dan kakitangan di bawah  Program Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP).

Katanya, insentif yang akan dibayar pada 16 Mac depan itu membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM16.89 juta.

“Pembayaran BKK Hari Raya Aidilfitri 2026 turut akan dipanjangkan kepada semua guru Guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Tradisional, pada kadar rata RM500 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Perak Bersama Penjawat Awam Negeri di Laman Seri Ridzuan di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Tambah Saarani, pemberian bonus sempena Aidilfitri itu juga hasil usaha semua pegawai dan kakitangan kerajaan negeri sehingga berjaya menambah baik serta mengukuhkan kedudukan kewangan negeri.

“Lebihan tersebut adalah hasil kerja keras Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pihak majlis bandaran dan semua agensi yang terlibat dalam kutipan hasil.

“Apabila kutipan hasil menunjukkan prestasi memberangsangkan, maka dalam Belanjawan Perak yang lalu kita dapat umumkan pemberian bonus dua bulan gaji.

“Justeru, saya berharap semua penjawat awam terus komited dan bekerja bersungguh-sungguh sepanjang Ramadan ini agar hasil negeri dapat terus dipertingkatkan,” katanya lagi.

Pada tahun lalu, kerajaan negeri mengumumkan pemberian BKK Aidilfitri berjumlah RM1,500 kepada 13,582 kakitangan awam di negeri ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

MB Perak umum Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji penjawat awam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI