Peranan wanita penting dalam sistem penjagaan kesihatan – Tuanku Zara

IPOH – Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah, wanita adalah sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan dengan mendedikasikan kemahiran, masa serta semangat mereka untuk menyembuhkan dan menjaga orang lain.

Baginda bertitah, adalah penting untuk memperkasakan wanita yang bergantung kepada sistem penjagaan kesihatan kerana sering menanggung beban penyakit termasuk tanggungjawab penjagaan dan kompleks navigasi perjalanan perubatan.

“Suara dan pengalaman mereka adalah sama penting dalam membentuk keterangkuman dan keberkesanan sistem penjagaan kesihatan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Majlis Simposium Women In Medicine 2024 sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia bertempat di Hotel Weil di sini, pada Khamis.

Hadir sama, isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin.

Peranan wanita penting dalam sistem penjagaan kesihatan - Tuanku Zara
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Simposium Women In Medicine 2024 sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di Hotel Weil, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 MAC 2024.

Tuanku Zara bertitah, bagi memastikan wanita dapat mengakses kepada penjagaan kesihatan, maklumat dan pendidikan perlu disediakan untuk memperkasakan mereka dalam membuat keputusan berhubung kesihatan mereka dan orang tersayang.

“Akibat kemiskinan, akses terhad atau cabaran daripada masyarakat, terdapat sesetengah wanita terkeluar daripada sistem dan mereka tiada tempat untuk berpatah balik.

“Usaha kita mesti perlu merangkumi ketersediaan saringan dan pengesanan awal untuk penyakit yang boleh dicegah, terutamanya untuk wanita di kawasan terpencil di seluruh negara,” baginda bertitah.

Titah baginda, Kementerian Kesihatan dalam Rangka Kerja Strategik Program Perubatan 2021-2025 telah mengenal pasti keperluan sumber manusia yang tidak dipenuhi dengan peningkatan beban kerja dan kapasiti sebagai salah satu cabaran utama yang perlu ditangani.

“Terdapat sesetengah hospital yang kekurangan kakitangan dan dana serta terlalu sesak sehingga memberi kesan kepada kualiti penjagaan kesihatan yang disediakan untuk pesakit.

“Oleh itu, tidak menghairankan bahawa tinjauan 2018 terhadap 2,600 ibu di seluruh Malaysia, Singapura dan Filipina mendapati bahawa 75 peratus berhenti kerja kerana kekurangan fleksibiliti mengenai isu seperti bilik penyusuan dan ketiadaan penjagaan harian kanak-kanak.

Peranan wanita penting dalam sistem penjagaan kesihatan - Tuanku Zara
Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan melawat reruai pameran pada Majlis Simposium Women In Medicine 2024 sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia di Hotel Weil, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 07 MAC 2024.

“Statistik ini dan seumpamanya menyerlahkan keperluan mendesak untuk kita menangani cabaran yang dihadapi oleh wanita dalam bidang perubatan.

“Melalui peranan mereka sebagai ibu dan kebanyakannya selalunya penjaga utama untuk anak-anak mereka, ia adalah keseimbangan yang berterusan antara keperluan kerjaya mereka dan keperluan keluarga terutamanya semasa mengandung dan selepas bersalin.

“Inilah realiti wanita bukan sahaja dalam profesion perubatan tetapi dalam semua kerjaya,” titahnya.

Dalam pada itu, Tuanku Zara bertitah, kita perlu menyahut cabaran untuk menangani pelbagai isu yang dihadapi daripada akses kepada penjagaan berkualiti kepada jurang dalam penyampaian penjagaan kesihatan, ini adalah cabaran yang memerlukan penyelesaian kolaboratif.

“Sama ada ia mengimbangi kerja dan kehidupan peribadi atau menavigasi kerumitan sistem, ini cabaran adalah sebahagian daripada perjalanan,” titah baginda. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Permaisuri Perak berkenan lancar Program Vaksinasi HPV – Leaving No One Behind

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI