Permaisuri Perak berkenan lancar Program Vaksinasi HPV ‘Leaving No One Behind’

IPOH – Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat melancarkan program vaksinasi virus papiloma manusia (HPV) ‘Leaving No One Behind’ peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) di sini, pada Rabu.

Keberangkatan tiba Tuanku Zara di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun diiringi isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubin.

Program hari ini menyaksikan kira-kira 500 wanita dan remaja perempuan berusia 13 hingga 20 tahun menerima suntikan vaksin HPV secara percuma di kawasan Parlimen Tambun.

Program berkenaan merupakan sebuah program vaksinasi HPV percuma yang sedang dijalankan di seluruh negara dan dijayakan dengan kerjasama rapat NCSM bersama Ahli Parlimen, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Inisiatif itu juga bagi mengenal pasti wanita dan remaja perempuan daripada kumpulan kurang kemampuan dan kurang upaya yang masih belum dilindungi oleh vaksin HPV di setiap kawasan parlimen, melibatkan pemvaksinan 300,000 dos vaksin HPV bernilai RM90 juta di seluruh negara.

Sementara itu, Dr Wan Azizah dalam sembah ucapannya berkata kanser serviks mungkin menjadi satu bebanan yang begitu kuat bagi pesakit yang menghidap penyakit itu.

Bagaimanapun beliau berkata vaksinasi HPV dapat mencegah seseorang daripada menghidap penyakit itu dan kesedaran terhadap perkara itu amat penting untuk diperluas kepada masyarakat.

“Kalau dah sakit, kita nak memberikan rawatan itu lebih rumit lagi, jadi inilah vaksin (HPV) memainkan peranan menoktahkan kanser serviks. Kalau kita kata noktahkan, kita nak semua anak-anak muda kita, anak perempuan kita semua tidak dapat kanser serviks,” katanya.

Pengarah Urusan NCSM Dr M Murallitharan dalam sembah ucapannya berkata kanser serviks merupakan kanser ketiga paling kerap menyerang wanita dengan kira-kira 40 peratus kes kanser serviks didiagnosis lewat iaitu pada peringkat tiga dan empat.

“Bagi mereka yang didiagnosis pada peringkat akhir ini, kadar kemandirian lima tahun mereka adalah serendah 23 hingga 32 peratus. Kesedaran tentang kanser serviks yang rendah dan cabaran mendapatkan saringan serta vaksin HPV merupakan antara penyumbang kepada peratusan tersebut.

“Melalui program vaksinasi HPV “Leaving No One Behind”, NCSM berhasrat untuk melenyapkan sepenuhnya angka-angka tersebut kerana sesungguhnya, kanser serviks amatlah boleh dicegah dengan berkesan melalui saringan dan vaksinasi HPV,” katanya.

Pada majlis itu, Tuanku Zara berkenan menyampaikan anugerah penghargaan kepada penaja dan NGO yang membantu menjayakan program terbabit.

Penaja terbabit antaranya ialah Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) yang dianggotai oleh 16 syarikat ahlinya dengan secara kolektif telah memberi sumbangan sebanyak RM3 juta kepada program vaksinasi HPV “Leaving No One Behind”.

Mantan Presiden LIAM Loh Guat Lan dalam kenyataan berkata pihaknya komited bukan sahaja untuk menyediakan sokongan kewangan, tetapi juga bekerjasama rapat dengan NCSM bagi memastikan 100,000 remaja perempuan yang layak di seluruh negara menerima vaksinasi itu.

“Inisiatif ini sejajar dengan matlamat LIAM yang lebih luas untuk menyokong sistem penjagaan kesihatan Malaysia dan mengurangkan risiko kanser serviks.

“Komitmen kewangan ini berfungsi dalam aspek tanggungjawab sosial korporat yang amat bermakna untuk LIAM, mempamerkan komitmen industri untuk menyelamatkan nyawa dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya. – BERNAMA

Artikel Berkaitan:

MGPerak: 543 Wanita Jalani Saringan Ujian HPV DNA Di Perak Positif

Ikuti kami di media sosial

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI