IPOH – Kerajaan Negeri Perak memandang serius jenayah penipuan dalam talian atau ‘online scam’ dan ia disifatkan sebagai perkembangan yang membimbangkan.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, ia juga dilihat sebagai satu cabaran utama kerajaan negeri dalam menggalakkan budaya digitalisasi dalam kalangan rakyat.
Katanya, sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, Perak merekodkan 6,619 kes jenayah komersial direkodkan dengan kerugian melebihi RM68.5 juta.
Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 1,407 kes jenayah penipuan dalam talian dicatatkan, melibatkan kerugian lebih RM55.3 juta.
“Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan agar negeri ini dapat bergerak ke arah pendigitalan sebagaimana yang digariskan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
“Jadi ia menjadi tugas saya untuk memastikan Perak sentiasa berada dalam landasan yang tepat ke arah itu.
“Namun, saya tidak mahu perkara-perkara seperti ini merencatkan usaha kerajaan negeri kerana ia dilihat menakut-nakutkan masyarakat tentang hal berkaitan pendigitalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia, Wan Roshaimi Wan Abdullah.
Di bawah Agenda Ekonomi Digital, Pelan Perak Sejahtera 2030 menggariskan inisiatif memperkasakan pendigitalan melalui pelbagai bidang terutamanya sektor urus niaga dan perkhidmatan awam yang didorong oleh sektor awam dan swasta.
Justeru itu Mohd Azlan memberitahu, dalam usaha itu kerajaan negeri sentiasa memastikan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang jenayah penipuan dalam talian sentiasa ditingkatkan.
Kata beliau, ia sebagai usaha menangkis kebimbangan rakyat agar agenda memperkasakan pendigitalan yang digerakkan kerajaan negeri dapat direalisasikan di samping menurunkan angka mangsa ‘scam’.
“Kerajaan negeri akan terus memperkasakan program kesedaran anti scam sehingga ke peringkat akar umbi.
“Usaha ini juga melibatkan pelbagai pihak termasuk melalui 180 Komuniti Madani di seluruh Negeri Perak,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: