IPOH – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak pernah ‘menganaktirikan’ mana-mana negeri dari segi pemberian peruntukan bagi membangunkan industri pelancongan di negara ini.
Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, pihak kementerian sebenarnya telah menjalankan sesi libat urus dengan negeri-negeri di seluruh Malaysia bagi memberi peluang kepada mereka mengutarakan kehendak masing-masing.
“Apa yang perlu ditekankan di sini adalah kita tidak pernah menganaktirikan mana-mana negeri.
“Malahan, kita sentiasa menerima dengan hati dan pintu terbuka sebarang kerjasama ataupun sebarang pertanyaan berkaitan dengan sektor pelancongan dan kebudayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Tasik Cermin 2 sempena Tahun Melawat Perak 2024 di sini pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Loh Sze; Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Majuperak Holdings Berhad, Syed Agil Syed Hashim dan Pengarah MOTAC Perak, Muhammad Aminuddin Abdul Majid.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Firdaus berkata, sebelum ini wakil Kerajaan Negeri Perlis ada menghadiri sesi libat urus namun tiada mesej yang disampaikan dari sudut peruntukan.
“Bagaimanapun, kita ada menyalurkan peruntukan-peruntukan pembangunan serta mengadakan pelbagai aktiviti untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri Perlis,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata mungkin berlaku sedikit salah faham antara kerajaan negeri Perlis dengan MOTAC berhubung isu peruntukan tersebut.
“Kita (MOTAC) ada menyalurkan peruntukan pembangunan kepada negeri Perlis dan juga kita mengadakan pelbagai aktiviti untuk merancakkan sektor pelancongan di negeri berkenaan.
“Mungkin ada sedikit salah faham tetapi tidak perlulah kita mahu bergaduh atau mahu bertengkar dengan perkara ini kerana ia tidak membawa manfaat,” katanya.
Terdahulu, sebuah media tempatan melaporkan, Kerajaan Negeri Perlis kecewa apabila tiada maklum balas diterima berhubung peruntukan daripada MOTAC untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Menurut Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, Menteri MOTAC, King Sing dikatakan tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai perkara tersebut sebelum ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Gabungan produk lama dan baharu bakal lonjakkan TMP 2024 – Sze Yee