KUALA KANGSAR – Pelaksanaan kaedah pertanian bandar dilihat berupaya membantu rakyat menjimatkan perbelanjaan isi rumah sehingga RM40 seminggu, khususnya bagi pembelian sayur-sayuran.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia berdasarkan hasil dapatan kajian Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Jabatan Pertanian Malaysia pada penghujung tahun lalu.
Katanya, kajian itu dilaksanakan di seluruh negara melibatkan semua peserta Program Pembangunan Pertanian Komuniti Jabatan Pertanian Malaysia.
“Hasil kajian mendapati seorang peserta program mendapat penjimatan sebanyak RM40 seminggu, atau RM160 sebulan atau RM1,920 setahun.
“Penjimatan RM40 seminggu ini adalah bagi perbelanjaan dapur peserta yang terlibat dalam program berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Pertanian Bandar Jabatan Pertanian Negeri Perak di Institut Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK), dekat sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) Negeri Perak, Shahril Sabri.
Mengulas lanjut Mohd Zolkafly memberitahu, program Pembangunan Pertanian Komuniti atau dikenali juga sebagai Program Pertanian Bandar merupakan inisiatif Jabatan Pertanian bagi membantu isi rumah mengurangkan kos sara hidup melalui pengeluaran makanan sendiri.
Kata beliau, ia melibatkan komuniti taman, kampung, masjid, surau, sekolah, institusi swasta dan kerajaan serta usahawan pertanian bandar dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.
Jelas Mohd Zolkafly, seramai 6,420 peserta Program Pertanian Bandar telah menerima manfaat masing-masing di 917 lokasi di seluruh Perak dengan rekod nilai pengeluaran melebihi RM134,000,
Jelas beliau, untuk memastikan program ini terus dilaksanakan, Jabatan Pertanian Negeri juga telah melaksanakan 210 sesi pemindahan teknologi seperti latihan dan kursus berterusan.
Tambah beliau lagi, program berkenaan turut memberi kesan positif terhadap aspek sosial apabila peserta dapat membentuk komuniti pertanian mereka sendiri serta meningkatkan motivasi diri melalui kerja secara berpasukan.
“Kalau kita berjaya amalkan perkara ini dalam keluarga, bukan sahaja boleh jimat RM40 seminggu, bahkan lebih lagi.
“Sementara di peringkat komuniti, kita perlu menguruskan tanaman bandar dengan bijak di samping mempelbagaikan jenis tanaman.
“Tambahan pula, tanaman pertanian bandar khususnya sayur-sayuran yang dihasilkan lebih selamat dan sihat kerana ia bebas daripada pengunaan racun,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama Shahril berkata, Jabatan Pertanian Perak merekodkan peningkatan lebih 50 peratus penyertaan bagi inisiatif pertanian bandar, di samping menyaksikan peruntukan program meningkat sekali ganda.
Kata beliau, sebanyak RM800,000 disalurkan bagi program pertanian bandar pada tahun ini berbanding RM400,000 pada tahun lalu.
“Memang pada saban tahun kita menerima peningkatan jumlah permohonan bagi pelaksanaan program pertanian bandar di kawasan masing-masing.
“Walaupun pertanian bandar ini lebih mudah untuk diuruskan berbanding kaedah lain, ia juga turut memainkan peranan penting kepada soal sekuriti makanan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dasar Kerajaan Negeri pacu Sektor Pertanian Perak jadi penyumbang negara