Pertimbang Kayuhan Perak Innoride jadi acara tahunan

IPOH – Acara berbasikal Kayuhan Perak Innoride akan dipertimbangkan menjadi program tahunan berikutan sambutan menggalakkan dalam kalangan peserta pada tahun ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata seramai 450 peserta terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat umur menyertai acara yang julung kali diadakan bersempena Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak pada 1 November ini.

“Saya difahamkan, pihak urusetia hanya menyediakan 400 helai baju T tetapi penyertaan melebihi daripada jumlah tersebut.

“Sehubungan itu, kita akan menperbanyakkan lagi penyertaan dan jaraknya mungkin akan ditambah kerana ada peserta yang memaklumkan 12 kilometer (km) terlalu singkat dan mereka tiada feel kerana mereka pernah kayuh antara 30 ke 40 km.

“Mungkin kita akan bincangkan penambahbaikan untuk program tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai menyertai Kayuhan Perak Innoride 2023 yang diadakan sempena sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, pagi tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin; Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bahagian Korporat, Anita Amri dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Mazlan Mohamad.

Dalam pada itu, Khairudin berkata aktiviti sukan berbasikal juga adalah salah satu kaedah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat betapa pentingnya untuk bersukan bagi memastikan diri sihat dan cergas.

“Melalui aktiviti berbasikal ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat Perak mengamalkan gaya hidup sihat sekaligus membantu menjayakan agenda pembangunan negeri khususnya menerusi Perak Sejahtera 2030,” ujarnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI