Petani setuju guna kaedah EM, sasar kurangkan populasi lalat menjelang November

KAMPAR – Kumpulan petani tanaman kontan di Kampung Redang Sawa dan Kampung Changkat Tualang, di sini bersetuju untuk menggunakan kaedah Mikrob Efektif (EM) bagi menangani masalah pembiakan lalat di kawasan berkenaan.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi berkata, kaedah itu akan digunakan untuk mempercepatkan proses pereputan tinja ayam yang dijadikan baja bagi mengurangkan risiko pembiakan lalat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berkata, penggunaan EM dipersetujui selepas perbincangan bersama petani terbabit dalam sesi taklimat Amalan Pertanian Baik (Elemen Baja Organik) di Pusat Khidmat ADUN Tualang Sekah, di sini, pada Selasa.

“Petani akan diberi latihan mengenai kaedah penggunaan EM pada Jumaat ini, termasuk cara memproses tahi ayam sebelum digunakan sebagai baja.

“Proses berkenaan mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan sebelum petani boleh menggunakannya di kebun masing-masing,” katanya.

kaedah EM kurangkan lalat di Kampar kaedah Mikrob Efektif untuk lalat, usaha kurangkan populasi lalat di Kampar, penggunaan EM bagi menangani masalah lalat masalah lalat di Kampar lalat di Kampung Redang Sawa lalat di Kampung Changkat Tualang baja tinja ayam Mikrob Efektif EM
Suasana sekitar sesi taklimat Amalan Pertanian Baik (Elemen Baja Organik) bersama para petani di Pusat Khidmat ADUN Tualang Sekah, Kampar, pada Selasa. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 20 OKTOBER 2026.

Taklimat disampaikan Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kinta dan Kampar, Wildan Firdaus Badaruddin.

Menurut Mohd Azlan, pihaknya berharap agar para petani boleh menggunakan kaedah EM sebelum penghujung bulan ini di samping menyasarkan pengurangan populasi lalat secara berperingkat menjelang pertengahan November ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut merancang menjalankan kajian bagi mengukur keberkesanan kaedah berkenaan melalui pemantauan jumlah lalat di lokasi terlibat sebelum dan selepas penggunaan EM.

Jelas beliau, kaedah itu akan melibatkan penggunaan perangkap lalat yang diletakkan di kawasan dan dalam tempoh tertentu untuk merekodkan jumlah kehadiran lalat.

“Jabatan Pertanian akan memantau langkah yang dilaksanakan ini, sebelum dan selepas penggunaan EM bagi melihat perubahan populasi lalat di kawasan terbabit.

“Sebagai contoh, jika pada peringkat awal kita merekodkan 30 ekor lalat dalam tempoh lima minit, kita berharap jumlah itu dapat dikurangkan kepada lima ekor atau kurang selepas kaedah EM digunakan.

“Melalui perbandingan itu, kita boleh menilai keberkesanan pendekatan yang dilaksanakan untuk menangani masalah berkenaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penggunaan baja tinja ayam yang tidak diproses dengan sempurna dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada pembiakan lalat di kawasan berkenaan.

Kata beliau, sebahagian petani dikesan menggunakan tinja ayam segar kerana harganya lebih murah berbanding bahan yang telah diproses, sekali gus meningkatkan risiko kehadiran lalat apabila baja berkenaan digunakan di kebun.

Justeru Mohd Azlan memberitahu, kaedah EM dipilih sebagai alternatif kepada penggunaan bahan kimia bagi mengelakkan risiko pencemaran makanan serta kesan terhadap penduduk setempat.

Media sebelum ini melaporkan lebih 400 penduduk di Kampung Redang Sawa dan Kampung Changkat Tualang berdepan gangguan lalat yang menjejaskan rutin harian, kebersihan makanan serta keselesaan di kediaman masing-masing.

Masalah yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu itu disyaki berpunca daripada penggunaan baja tinja di hampir 10 lot kebun tanaman kontan antaranya jagung dan ubi keledek yang terdapat di sekeliling kawasan penempatan berkenaan. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Lalat hurung muka, masuk makanan, penduduk terpaksa tidur berkelambu

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI