IPOH: Pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini disaran memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu pembangunan sukan menerusi pelbagai inisiatif termasuk penajaan akademi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak korporat mampu melonjakkan lagi kualiti sukan negeri agar lebih berdaya saing pada masa hadapan.
Katanya, penajaan oleh enam syarikat swasta terhadap Akademi Ragbi Ipoh (ARAI) merupakan salah satu langkah yang mampu membuka ruang kepada lebih banyak pihak tampil menyokong pembangunan sukan di negeri ini.

“Secara tidak langsung, apabila ada enam pihak swasta membantu penajaan akademi ragbi, ini mungkin merupakan antara langkah awal dan dapat membuka minat kepada pihak swasta lain untuk turut menyokong sukan tertentu.
“Kita tahu ada sukan seperti bola sepak, hoki dan golf yang mempunyai peminat tersendiri, namun ada juga sukan lain yang kurang diberi pengiktirafan serta peluang untuk menonjolkan program pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Menandatangani Penajaan Akademi Ragbi Ipoh (ARAI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, di sini, pada Sabtu.

Akademi itu menerima tajaan daripada enam pihak swasta iaitu Syarikat YBS Retail Trading Sdn. Bhd. melalui jenama emas Siti Jewels; Restoran Niase Sdn. Bhd.; Cik Jr. Cafe; Jenama sukan Torpedo; Jenama sukan Defender, serta Jenama sukan AKProduction.
Khairudin berkata, kerjasama erat antara pihak kerajaan, GLC, sektor swasta dan komuniti amat diperlukan bagi memastikan pembangunan sukan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Ujar beliau, sokongan sektor swasta bukan sahaja mampu meringankan beban kewangan, malah memberi keyakinan terhadap potensi pembangunan sesuatu sukan.

“Sukan di negeri Perak ini perlu digerakkan secara bersama kerana ia adalah sukan untuk semua, bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
“Dengan kos pengurusan sukan yang semakin meningkat melibatkan latihan, peralatan, logistik dan penyertaan kejohanan, penglibatan pihak swasta bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
“Sokongan daripada pihak swasta mampu memberi kelegaan yang signifikan kepada penggerak sukan di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan program pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih konsisten dan berimpak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi YBS Holdings Sdn. Bhd., Muhammad Solehuddin Shamsuddin memaklumkan, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi tempoh setahun penajaan terhadap usaha menyokong program pembangunan ARAI.
Beliau berkata, sebagai usahawan yang berasal dari Perak, pihaknya terpanggil untuk melihat anak jati negeri ini mencapai kejayaan cemerlang dalam setiap pertandingan ragbi yang disertai.

“Buat masa ini, fokus kami adalah kepada pembangunan sukan ragbi dan ini merupakan penajaan sukan sulung oleh syarikat kami,” katanya lagi.
Difahamkan, akademi yang mula ditubuhkan pada tahun 2024 dengan sokongan Kerajaan Negeri Perak melalui dana pembangunan sukan itu terdiri daripada 179 ahli dan berpusat di SMK Anderson. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


