Pimpinan PH adakan mesyuarat bincang dapatan Kongres PKR, Persidangan DAP – Fahmi

PUTRAJAYA – Pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan beberapa perkara yang dikenal pasti hasil Kongres Nasional PKR dan Persidangan Kebangsaan DAP.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata ia termasuk usaha penambahbaikan perubahan (reform) dan isu pelanggaran undang-undang dan kes skandal besar.

“Mesej yang disampaikan oleh sama ada perwakilan di Kongres Keadilan ataupun anggota pada Persidangan DAP sangat jelas, iaitu usaha untuk membawa penambahbaikan perubahan mesti dipercepat, dan tindakan tegas mesti diambil termasuk dalam isu-isu pelanggaran undang-undang serta kes-kes skandal besar.

“Seperti yang Perdana Menteri telah sebutkan, bukan hanya Tabung Haji, selepas itu akan diteliti Felda dan mana-mana agensi lain seperti yang telah dititah oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan Ogos 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalannya Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata pimpinan PKR merakamkan penghargaan kepada DAP yang memutuskan untuk terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat tempoh penggal Parlimen.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan DAP walaupun bagi pihak parti Keadilan kami berkongres dan kami juga banyak bermuhasabah sama juga dengan rakan-rakan dalam DAP,” katanya.

Beliau berkata kestabilan politik perlu terus menjadi keutamaan dalam menentukan sebarang tindakan parti, selaras dengan penegasan Perdana Menteri ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 semalam.

Fahmi berkata setiap tindakan yang diambil parti perlu berlandaskan kepentingan rakyat dan negara, bukannya kepentingan politik semata-mata.

Sebanyak 1,857 perwakilan DAP mengundi untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

— BERNAMA


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI