MANJUNG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Sabtu ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Kedua Perak Sejahtera 2030, pagi ini.
“Berita baharu saya terima pagi ini, Perdana Menteri akan datang ke Kerian pada Sabtu ini untuk memecah tanah tapak KIGIP,” katanya ringkas.
Perdana Menteri menerusi pengumuman Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu memalumkan kerajaan akan membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian bagi membina ekosistem lebih luas untuk kluster elektrik dan elektronik (E&E) di wilayah utara.
Pembukaan kawasan perindustrian baharu itu selepas kawasan Perindustrian di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park, Kedah.
Anwar sekali lagi pada 16 April lalu mengumumkan kerajaan akan merangka Pelan Strategik Semikonduktor secara menyeluruh bagi memastikan negara terus kekal sebagai destinasi pelaburan terpilih bagi industri strategik berkenaan.
Langkah berkenaan dilihat tepat pada masanya dalam memacu sektor Semikonmduktor di negara ini selain turut memberi manfaat kepada ekonomi di Perak dengan pembukaan KIGIP di daerah Kerian. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
KIGIP mampu jadi hub semikonduktor negara pacu ekonomi Perak
KIGIP mampu jadi hub semikonduktor negara pacu ekonomi Perak