Tiga projek mega di Perak bakal lonjak ekonomi negara

IPOH – Tiga projek mega yang sedang diusahakan di Perak bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara sekali gus memberi manfaat besar khususnya kepada rakyat di negeri ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga projek tersebut adalah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim; Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Lumut dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Kerian.

Beliau percaya dalam beberapa tahun Perak akan muncul sebagai negeri maju lebih utama di pantai barat Semenanjung kerana tiga daripada projek raksasa di Malaysia berpengkalan di negeri ini.

“Sebelum ini, kedudukan Perak di pantai barat agak sedikit belakang berbanding Johor, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, mutakhir ini, dengan kesungguhan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan rakan-rakan beliau terutamanya dengan tiga projek raksasa ini saya yakin, InshaAllah akan mengangkat Perak di antara negeri utama dalam pertumbuhan ekonomi negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Perak bersama Perdana Menteri di Kolej Poly Tech Mara, Bandar Meru Raya, di sini, pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, menerusi beberapa pertemuan beliau di luar negara antaranya Australia, China, Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman terdapat kesepakatan untuk menjadikan Malaysia hub pengeluaran mikrocip di rantau ini.

Sementara itu, beliau yakin masalah kemiskinan tegar kira-kira, 4,000 orang di Perak akan dapat diatasi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa menghadiri mesyuarat bersama kepimpinan kerajaan negeri di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 2.30 petang tadi.

Beliau mendengar dan meneliti program-program pembangunan di Perak  serta bertukar-tukar pandangan bagaimana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama lebih akrab bagi memastikan projek-projek berkepentingan rakyat di negeri ini dapat dilaksanakan bersama. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pembangunan AHTV di Tanjung Malim dijangka mula tahun depan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI