PM pamer kepimpinan berani selaku Pengerusi ASEAN – AMK

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan kepimpinan yang berani dan matang sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Menurut beliau, Malaysia tidak lagi dilihat sekadar menjadi tuan rumah kepada pelbagai sidang antarabangsa sebaliknya memainkan peranan penting sebagai peneraju kepada proses damai yang turut dipantau rapat oleh kuasa besar dunia.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia telah menunjukkan kepimpinan berani dan matang dalam berdepan ujian antara terbesar yang pernah kita saksikan sepanjang tempoh kepengerusian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Kamil berkata, Anwar telah memposisikan Malaysia sebagai pemimpin utama dalam rundingan damai antara negara-negara yang berkonflik, bukan sekadar pengantara simbolik.

“PMX memposisikan Malaysia bukan sekadar sebagai tuan rumah, tetapi pemimpin utama proses damai yang turut disaksikan oleh kuasa besar seperti AS dan China,” ujarnya.

Semalam, satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar selaku Pengerusi ASEAN telah diadakan di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai turut menghadiri mesyuarat khas itu.

Ia merupakan pertemuan secara bersemuka yang pertama antara kedua-dua pemimpin itu sejak ketegangan tercetus antara kedua-dua negara jiran berkenaan pada 24 Julai lalu.

Mesyuarat itu berlangsung hampir dua jam setengah.

Turut hadir ialah Duta AS ke Malaysia, Edgard D Kagan, dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, di saat dunia terus bergantung kepada kekuatan senjata bagi menyelesaikan konflik, Malaysia memilih jalan yang lebih sukar tetapi bermaruah iaitu kekuatan diplomasi.

“Dalam dunia yang sering memilih kekuatan senjata, Malaysia memilih kekuatan diplomasi dan ia terbukti berhasil,” tegas beliau.

Jelasnya lagi, pencapaian itu bukan sekadar retorik atau kenyataan manis di pentas antarabangsa sebaliknya hasil nyata daripada pendekatan yang konsisten dan jitu oleh kepimpinan negara.

“Ini bukti bahawa di bawah kepimpinan hari ini, Malaysia tidak hanya memelihara kestabilan dalam negeri tetapi juga tampil menjaga keamanan serantau,” katanya.

Muhammad Kamil turut menegaskan bahawa pendekatan ini harus dijadikan penanda aras baharu kepada hala tuju diplomasi luar negara yang lebih matang dan progresif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI