Polis lupus 830 barang kes termasuk mesin bitcoin haram

PARIT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melupuskan 830 unit pelbagai kategori barang kes sejak 2024 hingga 2026 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM252,200.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pelupusan tersebut membabitkan 60 kertas siasatan yang telah diselesaikan dan mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah serta pihak berkuasa berkaitan.

Menurut beliau, antara kategori utama barang kes yang dilupuskan ialah peralatan perlombongan bitcoin secara haram, barang kes kontraban, perjudian, kenderaan serta pelbagai barang kes am.

“Daripada jumlah keseluruhan 830 unit barang kes yang dilupuskan, sebanyak 628 unit melibatkan barang kes perlombongan bitcoin, 161 unit barang kes kontraban, 30 unit barang kes perjudian, lima unit barang kes kenderaan dan enam unit barang kes am.

“Pelupusan ini dilaksanakan selepas semua tindakan siasatan dan proses perundangan selesai serta mendapat perintah pelupusan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes (Kontraban/Perjudian/Barang Am/Bitcoin) di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, di Seri Iskandar, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Senior Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid.

Hafezul berkata, bagi kategori perlombongan bitcoin haram sebanyak 554 unit mesin bitcoin, 24 unit desktop switch, 24 unit router internet dan 26 unit kabel telah dilupuskan.

Katanya, kesemua peralatan tersebut melibatkan 25 kertas siasatan yang telah disiasat dan diselesaikan dalam tempoh antara tahun 2024 hingga 2026.

“Pelupusan barang kes ini bukan sahaja bertujuan menguruskan barang kes yang telah selesai tindakan undang-undang, malah mencerminkan ketegasan Polis Diraja Malaysia dalam membanteras pelbagai bentuk jenayah termasuk kegiatan perlombongan bitcoin secara haram, penyeludupan dan perjudian.

“Ia juga membuktikan komitmen berterusan pihak polis dalam memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, nilai keseluruhan barang kes yang dilupuskan sebanyak RM252,200 itu menggambarkan kejayaan pihak polis dalam menjalankan operasi dan penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti jenayah di daerah Perak Tengah serta kawasan sekitarnya.

“Pihak polis akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat,” katanya. – MGPerak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI