GEORGE TOWN – Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pulau Pinang membongkarkan tempat simpanan rokok seludup selepas menyerbu sebuah rumah di Gelugor, di sini.
Risikan yang dibuat sejak Selasa lalu itu berjaya membawa kepada rampasan rokok tidak bercukai bernilai RM877,800.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, menerusi pemerhatian selama 72 jam mendapati tidak ada individu yang datang atau memasuki premis berkenaan sebelum rumah terbabit diserbu pada jam 12.15 tengah malam tadi.
“Pemeriksaan ke atas premis itu membawa kepada penemuan 840,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai sebanyak RM877,800 termasuk cukai.
“Siasatan awal mendapati rokok seludup berkenaan dipercayai dibawa dari negara jiran.
“Tiada tangkapan dibuat dan pemilik premis terbabit masih disiasat bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette