Polis tahan lelaki bantu siasatan video buli jalanan

TAPAH – Polis telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan video tular di media sosial memaparkan kejadian buli jalanan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Lebuhraya Utara Selatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, semakan terhadap lelaki yang ditahan pada 1 Ogos lalu itu mendapati tiada sebarang rekod jenayah lampau.

Katanya, justeru pihak polis sedang mengesan seorang lagi suspek disyaki warga tempatan yang dipercayai masih bebas untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 506 / 323 Kanun Keseksaan.

Menurut Mohd Naim, sebelum itu pihaknya terkesan  satu rakaman video tular yang telah disunting memaparkan kejadian buli jalanan.

“Hasil siasatan mendapati, kejadian tersebut dipercayai berlaku pada jam sekitar 2.30 petang 31 Julai lalu.

“Pihak polis telah mengesan pemandu kenderaan yang juga mangsa iaitu seorang perempuan warga tempatan berumur lingkungan 38 tahun.

“Mangsa memberitahu, ketika kejadian dia sedang memandu kereta menghala ke Kuala Lumpur dan telah memotong sebuah MPV berwarna putih di kilometer (km) 336.7 Lebuhraya Utara Selatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Mohd Naim berkata, hasil siasatan, pemandu MPV berkenaan dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan itu dan terus mengejar mangsa dengan menyalakan lampu hadapan berkali-kali.

Ujar beliau, mangsa kemudian memberhentikan kenderaanya di tepi lebuh raya sebelum turun dua lelaki daripada MPV menuju ke arah mangsa dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Tiba-tiba mangsa telah ditumbuk (oleh salah seorang mereka) sehingga mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka. Mangsa kemudian telah mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Tapah,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai diminta untuk sentiasa berhemah dan bersabar ketika memandu di jalan raya.

Mohd Naim juga meminta agar mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian itu dan pihak polis akan menjalankan siasatan yang sewajarnya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut boleh menyalurkan maklumat berkaitan secara terus kepada Penolong Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Suhaida Mohamad Shuid di talian 05-4011222 atau 011-39518320,” katanya lagi.

Terdahulu tular di media sosial video kamera papan pemuka berdurasi seminit memaparkan kejadian buli jalanan melibatkan dua lelaki yang keluar dari sebuah MPV.

Dalam satu hantaran pada laman Facebook, seorang lelaki mendakwa teman wanitanya yang juga mangsa telah dicederakan oleh salah seorang mereka dalam insiden itu. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pemandu bas tular memandu secara berbahaya dikenakan kompaun RM300

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI