LENGGONG – Pelaksanaan Tapak Pendidikan Terbuka di Lenggong melalui kerjasama akademik yang lebih tersusun berpotensi menjadikan kawasan berkenaan berkembang sebagai pusat rujukan ilmu bertaraf antarabangsa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan ini turut membuka ruang kepada mobiliti pelajar, penyelidikan bersama serta jaringan kerjasama global yang lebih luas.
“Pembangunan Tapak Pendidikan Terbuka di Lenggong menjadi satu langkah yang tepat kerana ia memperluas akses kepada pembelajaran di luar bilik darjah.
“Pendekatan ini membantu membentuk generasi yang lebih menghargai warisan, memahami kepentingan pemuliharaan alam sekitar serta memiliki jati diri yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra sempena Lawatan Akademik Lenggong Geopark, serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lenggong Geopark di Resort Tasik Raban, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Saarani dalam ucapan beliau turut mencadangkan agar kemajuan teknologi dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkukuh pengalaman pembelajaran di kawasan ini.
“Penggunaan pemetaan geospatial, realiti maya serta pangkalan data digital mampu menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan menarik, khususnya kepada generasi muda yang lebih terdedah kepada teknologi,” katanya.
Tambah Saarani, Lenggong turut mempunyai kelebihan tersendiri apabila diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 2012.

Jelas beliau, pengiktirafan ini membuktikan nilai sejagat yang dimiliki oleh kawasan ini dari sudut sejarah dan perkembangan manusia serta menjadikannya antara tapak warisan penting di peringkat global.
“Kerajaan Negeri juga menyambut baik perkembangan terkini berkaitan pengiktirafan Lenggong sebagai UNESCO Global Geopark dalam masa terdekat.
“Pengiktirafan ini akan mengukuhkan lagi kedudukan Lenggong sebagai destinasi ilmu dan pelancongan yang mempunyai nilai antarabangsa,” katanya.
Saarani berkata, Kerajaan Negeri Perak turut berharap agar usaha tersebut dapat menjadikan Lenggong sebagai model terbaik dalam mengintegrasikan warisan, pendidikan dan pembangunan ekonomi secara seimbang, sekali gus memberi manfaat kepada sektor pelancongan serta pembangunan komuniti secara menyeluruh dan berterusan. -MG Perak


