Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah seiring pembangunan TVET di Perak

DITUBUHKAN pada Disember 2016, Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah berupaya menjadi mercu kecemerlangan bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) maritim negara.

Ia bukan sahaja menyokong agenda TVET negara malah memperkukuhkan bidang berkenaan di Perak selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menawarkan kursus dan program TVET Maritim politeknik ini dilihat bakal menjadi antara pemacu dalam memenuhi sasaran menjadikan Perak sebagai hab utama TVET negara menjelang 2030.

Saarani sebelum ini pernah memaklumkan bahawa Perak berhasrat menjadi sebuah negeri perindustrian dengan membangun beberapa pusat perindustrian disamping mencari pelabur-pelabur membuka perniagaan di negeri ini.

Malah dengan kewujudan Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah ia dilihat mampu membekalkan tenaga mahir kepada salah sebuah projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri iaitu Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

Melalui visi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maritim, Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah menjadi sebuah mercu ilmu yang mencerminkan tekad Kerajaan Persekutuan dan disokong Kerajaan Perak dalam memperkasa TVET maritim negara.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat reruai pameran pada majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah, Bagan Datuk. Foto ABDULLAH YUSOF.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebelum ini berkata, lebih 40,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dalam sektor maritim dan logistik dijangka terhasil dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, industri maritim masa kini merangkumi kejuruteraan kapal, teknologi marin, automasi perkapalan, logistik pelabuhan, penyelenggaraan, serta bidang kemampanan laut dan semuanya menuntut kepakaran teknikal tinggi dan inovasi berterusan.

Tambahnya, tenaga mahir TVET perlu dipersiapkan untuk memenuhi permintaan industri yang semakin kompleks, berteknologi tinggi dan berorientasikan kemampanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sembah ucapan Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah berkata, kedudukan Bagan Datuk di kawasan muara strategik menjadikannya lokasi sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat perikanan laut dalam sebagaimana termaktub dalam pelan ‘Perak Sejahtera 2030’.

Ahmad Zahid berkata, potensi daerah itu bukan sahaja tertumpu kepada sektor perikanan, malah mampu menjadi pusat latihan maritim merangkumi teknologi perkapalan, perikanan moden, tenaga laut dan keselamatan perairan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan bergambar pada majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah, Bagan Datuk. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Usaha ini mampu melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang TVET maritim sekali gus menyokong agenda Ekonomi MADANI dan Dasar Pengangkutan Negara 2030 yang menjadikan sektor maritim pemacu pertumbuhan ekonomi.

“Graduan TVET maritim bakal menjadi tonggak penting dalam membentuk masa depan industri pelabuhan, perkapalan, logistik dan tenaga laut negara, selain berperanan sebagai penjaga kelestarian perairan,” katanya.

Beliau turut berharap Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah menjadi pusat pembelajaran berteraskan inovasi dan kemahiran teknikal yang mampu melahirkan generasi pelaut, jurutera serta teknokrat maritim berdaya saing di peringkat global.

Dikenali sebagai Politeknik Bagan Datuk sebelum ini, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu dimasyhurkan sebagai Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah bersempena nama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 20 November lalu.

Politeknik ke-35 dalam negara ini ditubuh pada Disember 2016 dengan visi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan dan teknologi maritim.

Pengambilan sulung tahun 2017 melalui Diploma Seni Bina Kapal menjadikannya satu-satunya politeknik TVET yang memberi fokus kepada maritim dan perkapalan.

Politeknik ini didirikan di atas 12.14 hektar tanah, dibangunkan dengan kos RM175 juta, siap sepenuhnya pada tahun 2023 dan menjadi mercu ilmu yang mencerminkan tekad kerajaan memperkasa TVET maritim negara. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Sultan Perak berkenan isytihar pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI