GERIK – Sebuah premis perniagaan yang dilaporkan menjual minyak masak peket melebihi harga kawalan diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Lenggong, dekat sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan sekitar jam 10 pagi itu dijalankan hasil maklumat yang diperoleh daripada orang awam.
Menurutnya, pengadu mendakwa premis berkenaan menjual minyak masak peket 1kg melebihi harga ditetapkan kerajaan.
“Berdasarkan maklumat aduan tersebut, anggota penguat kuasa KPDN cawangan Gerik telah bertindak melakukan Ops Samar dan mendapati premis tersebut telah menjual minyak masak peket dengan harga RM2.70 melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM2.50.
“Pemeriksaan menyeluruh ke atas premis turut menemui sebanyak 60 peket minyak masak 1kg di bahagian belakang stor penyimpanan manakala 13 peket lagi ditemui di dalam kotak di bahagian hadapan premis dengan tanda harga RM2.50,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, tindakan telah diambil mengikut Seksyen 12 Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) iaitu gambaran yang mengelirukan tentang harga barang.
Katanya, kes tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kedai runcit jual minyak masak paket lebih had dikenakan tindakan