IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, merampas 463 bungkus makanan ringan pelbagai jenis dipercayai menggunakan logo halal tidak sah.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, barangan dengan nilai sitaan berjumlah RM 2,720 itu dirampas dalam serbuan ke atas sebuah premis makanan ringan di Kampung Kacang Putih, Buntong, di sini kira-kira jam 12.45 tengah hari pada Khamis.
Menurut Kamalludin, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan penguat kuasa KPDN Perak ekoran premis tersebut disyaki menggunakan logo halal yang tidak sah bagi tujuan perdagangan dan jualan di pasaran.
“Pemeriksaan yang dijalankan menjumpai sejumlah produk makanan ringan telah ditandakan dengan logo halal tidak sah digunakan untuk tujuan perdagangan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati produk yang dikeluarkan adalah untuk jualan runcit serta borong sekitar utara Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kamalludin berkata, kes disiasat di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal.
“Jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, dedenda tidak melebihi RM50,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM100,000.
“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Tambah beliau, KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011. -MG Perak
Artikel Berkaitan: