IPOH – Kerajaan Negeri Perak berpuas hati terhadap prestasi Lembaga Air Perak (LAP) yang berjaya mencatat keuntungan operasi setiap tahun.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun LAP tidak tersenarai dalam tiga syarikat air terbaik negara, yang lebih penting adalah ia tidak berada dalam kelompok tiga terbawah.
Menurutnya, setakat ini LAP tidak terlibat dengan hutang ataupun pinjaman dan syarikat pengurusan air itu berada dalam kedudukan yang baik.
“Pada kali ini walaupun beberapa negeri dikatakan menaikkan kadar air tapi Perak tidak menaikkannya, sebab tahun lalu kita sudah naik lima sen, maka tahun ini kita tidak naikkan walaupun negeri lain buat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Pertama Dewan Belia Negeri Perak Sesi Kelima di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah; dan Speaker Dewan Belia Perak, Mohd Azian Zaidi.
Katanya, kedudukan kewangan yang kukuh serta kutipan hasil yang baik membolehkan LAP menambah baik fasiliti tanpa perlu menaikkan tarif.
“Saya tidak bimbang tidak berada dalam tiga teratas, tetapi lebih bimbang jika termasuk dalam tiga terbawah,” ujarnya.
Pada 7 Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan syarikat air di Pulau Pinang, Selangor dan Johor dinobatkan sebagai tiga syarikat pengurusan terbaik air di Malaysia.
Manakala, syarikat bekalan air di Perlis, Kedah dan Kelantan dikenal pasti mencatatkan prestasi kurang memuaskan apabila gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: