PRK Ayer Kuning: 31,281 pemilih berdaftar keluar mengundi esok

TAPAH – Seramai 31,281 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) esok bagi memilih wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 601 petugas SPR termasuk polis pengiring akan bertugas bagi menghadapi proses pengundian di 63 saluran melibatkan 19 pusat mengundi.

Menurutnya, mengikut perancangan proses pengundian akan bermula dari jam 8 pagi sehingga 6 petang dan keputusan rasmi dijangka diperoleh pada jam 9 malam.

Tambahnya, pengundi perlu membawa kad pengenalan atau apa-apa dokumen pengenalan diri untuk membuktikan dia adalah pengundi yang berdaftar ke kawasan ini.

PRK Ayer Kuning: 39,241 pemilih berdaftar keluar mengundi esok
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 APRIL 2025.

“Kalau tengok suasana dengan kawasan pun tidak seluas mana, kita jangka kalau tiada sebarang kacau ganggu, InsyaAllah dalam jam 9 malam kita boleh dapat keputusan rasmi.

“Saya menyeru kepada pengundi-pengundi yang berdaftar di kawasan Ayer Kuning seperti mana yang dimaklumkan Pengerusi SPR sebelum ini keluar lebih awal kerana suasana cuaca yang agak tidak menentu.

“Pengundi yang hadir dinasihatkan supaya tidak memakai pakaian yang melambangkan logo parti memandangkan tempoh kempen berakhir pada jam 11.59 malam ini dan berharap semua pihak bertanding mematuhi peraturan yang berkuat kuasa sepanjang berada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau petugas SPR melakukan semakan peralatan dan isi peti undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK DUN Ayer Kuning, di Dewan Merdeka, di sini pada Jumaat.

PRK Ayer Kuning: 39,241 pemilih berdaftar keluar mengundi esok
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak meninjau petugas SPR melakukan semakan peralatan dan isi peti undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi menjelang hari pengundian esok sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, di Dewan Merdeka, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 APRIL 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Ikmalrudin berkata, setakat ini pihaknya telah menerima 33 laporan berhubung kesalahan melibatkan bahan kempen dipasang di kawasan yang tidak dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Contoh, bahan kempen yang dipasang di tepi jalan dan di bulatan yang menghalang lalu lintas. Daripada jumlah laporan itu, empat daripadanya melibatkan laporan polis membabitkan individu,” jelasnya.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir; Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PRK Ayer Kuning: 93.4 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI