IPOH – Datuk Seri Saarani Mohamad dijadual berjumpa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu depan, bagi mengemukakan hasil dapatan di lapangan berkenaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak itu berkata, kajian berkenaan telah dijalankan pihaknya bagi mengenal pasti calon terbaik daripada enam nama yang berpotensi untuk dibawa ke peringkat pusat bagi mewakili parti pada PRK itu nanti.
“Ada organisasi yang telah kita tubuhkan untuk melakukan kajian lapangan untuk kita kenal pasti, antara enam calon itu, mana yang paling terbaik (untuk dipertimbangkan menjadi calon).
“Saya sudah berjumpa presiden parti pada Khamis lepas, dan susulan itu pada Rabu nanti saya akan berjumpa sekali lagi dengan beliau untuk menyerahkan hasil laporan berkenaan.
“Ia akan diserahkan selepas selesai Majlis Kerja Tertinggi UMNO (di Kuala Lumpur),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak Tahun 2025, di Laman Seri Ridzuan, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, isteri yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), Datin Seri Aezer Zubin serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Pada Jumaat media melaporkan Ahmad Zahid akan meneliti senarai nama yang dikemukakan UMNO / Barisan Nasional (BN) Perak untuk memilih calon yang akan diangkat mewakili parti pada PRK DUN Ayer Kuning.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, akan mengadakan mesyuarat bersama Saarani yang juga Menteri Besar Perak dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
Dalam perkembangan sama Saarani berkata, setakat ini tiada sebarang keperluan perubahan tarikh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang turut berlangsung dalam tempoh berkempen PRK berkenaan.
Menurut beliau, tempoh berkempen PRK berkenaan juga dilihat tidak akan akan menggugat kelancaran persidangan DUN Perak yang dijadualkan berlangsung bermula 15 sehingga 22 April depan.
Jelas Saarani, ini kerana kerja-kerja mendekati pengundi dalam tempoh tersebut tidak semestinya memerlukan kehadiran wakil rakyat daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membantu calon parti masing-masing.
“PRK dan Persidangan DUN adalah dua perkara berasingan, tambahan pula persidangan kali ini akan dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (dijadualkan pada 15 April).
“Malah lazimnya sewaktu berkempen, semua jentera di seluruh negara akan turun membantu calon.
“Oleh itu saya berpandangan Speaker DUN boleh sahaja meneruskan (persidangan) kerana ia tidak menanggu sebarang perkara, kecuali jika mengambil kira faktor lain seperti keselamatan dan sebagainya,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: