PRK Ayer Kuning: Zahid nafi Pemuda UMNO boikot, tegaskan sokongan padu semua jentera

TAPAH – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujud tindakan boikot oleh sayap Pemuda UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa kesemua jentera dan sayap UMNO memberi sokongan penuh kepad calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir.

“Tidak ada (dakwaan sebegitu) kerana beliau (semua anggota Pemuda UMNO) hadir pada setiap mesyuarat sama ada di peringkat negeri dan bahagian (untuk gerak kerja parti).

“Dan InsyaAllah jentera mereka (Sayap Pemuda) akan memberi dukungan sepenuhnya kepada Dr Mohamad Yusri sebagai calon PRK DUN Ayer Kuning,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon PRK Ayer Kuning di Dewan Merdeka Tapah, pada Sabtu.

Ahmad Zahid diminta mengulas berkenaan wujud dakwaan Pemuda UMNO tidak berpuas hati dengan pemilihan calon BN pada PRK berkenaan kerana dikatakan mereka mencadangkan Ketua Pemuda UMNO Tapah, Fahmi Ahmad Jakhisi sebagai calon.

Terdahulu, dilaporkan PRK DUN Ayer Kuning akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

BN menamakan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri, sementara PN mempertaruhkan Yang Dipertua PAS Tapah, Abdul Muhaimin Malek, dan PSM diwakili Bawani KS, 40, yang juga Timbalan Setiausaha Agung Parti itu.

Pada masa sama, Ahmad Zahid mengucapkan penghargaan dan memuji gerak kerja parti pada PRK DUN Ayer Kuning yang diketuai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi kawasan berkenaan.

Tambah Timbalan Perdana Menteri itu, kerja-kerja awal yang dilakukan Saarani membuahkan hasil selain memaklumkan pihaknya tidak merancang untuk ceramah berskala besar.

“Sebaliknya, kita lebih mengutamakan pendekatan secara peribadi dalam mendekati pengundi di sekitar Ayer Kuning. Dengan pemilihan Ustaz Yusri, pembangunan akan diteruskan.

“Kebetulan Ayer Kuning merupakan kawasan luar bandar, jadi insya-Allah, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan mempertimbangkan pembangunan infrastruktur yang berterusan,” kata beliau lagi.

Pada masa sama, beliau turut berharap agar semua pengundi di DUN Ayer Kuning akan memberikan sokongan kepada Mohamad Yusri dalam usaha meneruskan legasi khidmat penyandang terdahulu, Allahyarham Ishsam Shahruddin. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tiga penjuru di PRK Ayer Kuning

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI