IPOH – Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa UMNO Bahagian Tapah termasuk ketua cawangan pada Rabu depan.
Menurutnya, perjumpaan itu bagi membincangkan gerak kerja untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Pagi tadi saya dapat panggilan daripada Timbalan Perdana Menteri iaitu Presiden UMNO (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang kini berada di Sabah.
“Dia (Ahmad Zahid) dengan saya berbincang kita tidak akan tunggu, kita akan buat terlebih dahulu aktiviti dan program ke arah memenangi PRK.
“Jadi saya akan jumpa dengan jawatan kuasa UMNO Bahagian Tapah empat peringkat termasuk ketua cawangan pada hari Rabu malam.
“Saya akan jumpa mereka (jawatankuasa) bincang dengan mereka melakukan persediaan walaupun mereka dalam kesedihan.
“Langkah berikutnya kita akan adakan mesyuarat jawatankuasa pilihan raya rujuk Presiden Parti dan soal calon akan ditentukan oleh jawatankuasa.
“Saya percaya dengan kekuatan sedia ada dengan penyatuan kekuatan UMNO dan BN Tapah itu InsyaALLAH kita boleh memenangi kembali kawasan itu,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Masjid An-Nur, Desa Sri Ampang, di sini hari ini.
Allahyarham Ishsam memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dalam pertarungan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Allahyarham memenangi kerusi tersebut dengan memperolehi 9,908 undi dengan majoriti 2,213 undi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Notis Kekosongan DUN Ayer Kuning diserah kepada SPR Selasa