PRK KKB: 625 anggota polis dan pasangan undi awal hari ini

KUALA KUBU BAHARU – Pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), mula dibuka jam 8 pagi tadi.

Seramai 625 anggota terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat serta pasangan masing-masing akan mengundi di sini, hari ini.

Maktab PDRM adalah salah satu daripada dua pusat mengundi awal yang mempunyai tiga saluran.

Anggota polis mula beratur bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing sebaik pintu pusat pengundian di sini dibuka.

Kedua-dua pusat mengundi awal ini akan ditutup jam 5 petang.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), meramalkan cuaca baik di sebelah pagi pada hari pengundian manakala ribut petir pada sebelah petang.

PRK DUN KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK ini, Sabtu depan. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan:

Ambil tindakan jika MCA enggan berkempen PRK Kuala Kubu Bharu

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI