Projek mega: Perak giat rancang pembangunan infrastruktur baharu

IPOH – Kerajaan Negeri Perak sedang giat merancang pembangunan infrastruktur baharu susulan beberapa projek mega yang sedang diwujudkan di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kajian lanjut sedang dijalankan termasuk melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, kerajaan negeri sedang berusaha bagi memastikan infrastruktur lengkap dan mampu bertahan lama dapat dibangunkan kelak bagi memenuhi kehendak pihak industri baru.

“Saya mahu memastikan infrastruktur dari segi sumber air bersih, tenaga, kumbahan serta jalan raya dapat dibangunkan dan diselenggara dengan baik.

“Dan sudah pasti kemudahan utiliti ini akan melibatkan usaha sama dengan agensi-agensi lain seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Semua usaha ini bagi menyambut pembangunan-pembangunan negeri termasuk Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Lumut serta Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP),” katanya.

Projek mega perak kerajaan negeri perak industri exco perak Mohammad Nizar Jamaluddin infra baru giat rancang pembangunan infrastruktur baharu
Temubual khas Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bersama wartawan MG Perak, Amirrul Rabbani Rashid (kanan) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MEI 2024.

Beliau berkata demikian ketika dalam temu bual bersama MG Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu Mohammad Nizar memberitahu, perancangan rapi terhadap pembangunan infrastruktur di kawasan projek-projek mega berkenaan juga melibatkan kepada usaha meminimumkan kejadian banjir kilat.

“Oleh kerana keadaan cuaca sering berubah-ubah ketika ini, maka infrastruktur yang dibangunkan nanti akan turut mengambil kira kepada perkara itu.

“Kita tidak mahu dalam kerancakkan pembinaan-pembinaan infrastruktur semua projek mega ini nanti, ia pula akan mengundang kepada kejadian banjir kilat kepada kawasan setempat,” ujarnya.

Projek mega perak kerajaan negeri perak industri exco perak Mohammad Nizar Jamaluddin infra baru giat rancang pembangunan infrastruktur baharu
Temubual khas Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bersama MG Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MEI 2024.

Dalam perkembangan sama, Mohammad Nizar berkata, Pelan Perak Sejahtera 2030 yang digagas Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad diyakini mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Ujar beliau, kejayaan pentadbiran Saarani mengurangkan unsur salah guna kuasa, serta bibit-bibit ekstrimis perkauman dan keagamaan telah berjaya membawa kestabilan kepada negeri.

“Kejayaan-kejayaan ini akhirnya membuahkan hasil apabila siri lawatan Menteri Besar Perak ke Korea Selatan dan Jepun baru-baru telah meyakinkan para pelabur di negara berkenaan untuk melabur di sini.

“Dalam tempoh beberapa tahun ke belakangan ini, sudah lama tidak kedengaran kewujudan projek-projek mega di Perak. Justeru perkembangan terkini di bawah pentadbiran Saarani adalah sesuatu yang membanggakan,” ujarnya lagi.

KKR terima cadangan kurangkan lampu isyarat di Lebuhraya Ipoh-Lumut

Mohamad Nizar turut memaklumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerima cadangan kerajaan Negeri Perak untuk mengurangkan penggunaan lampu isyarat sebagai memendekkan tempoh perjalanan di sepanjang laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut.

Beliau berkata, justeru itu JKR Perak sedang menjalankan kajian selanjutnya berhubung menyahaktifkan separuh daripada 34 lampu isyarat sedia ada.

Gambar hiasan.

Jelasnya, walaupun usaha untuk melancarkan aliran trafik di Jalan Persekutuan itu masih berjalan, namun terdapat beberapa lampu isyarat yang dirasakan perlu dikekalkan.

Mohammad Nizar berkata, ia termasuk penggunaan lampu isyarat di beberapa persimpangan jalan di Seri Iskandar yang diperlukan untuk mengawal aliran trafik.

“Selepas melepasi fasa pertama (penerimaan cadangan daripada KKR), kini kita sedang melihat ke arah pelaksanaan kajian bagi mengenalpasti mana lampu isyarat yang boleh dinyahaktifkan.

“Misalnya seperti di Tronoh, yang mana ada beberapa lampu isyarat, sedangkan ia merupakan sekadar kawasan kecil (dengan jumlah trafik rendah),” katanya.

Perak kerajaan negeri perak bas teksi elektrik bandar raya ipoh exco perak kenderaan elektrik EV rendah karbon kenderaan awam exco perak Mohammad Nizar
Temubual khas Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bersama MG Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 MEI 2024.

Beliau berkata demikian ketika dalam temu bual bersama MG Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, baru-baru ini.

Selain daripada itu Mohammad Nizar memberitahu, kajian strategik terhadap cadangan mengaplikasikan kaedah persimpangan laluan pusingan-U seperti yang dilaksanakan di Tambun turut giat dijalankan.

“Setakat ini tiada anggaran kos dapat dinyatakan (kerana ia masih di peringkat cadangan awal). Namun berdasarkan kepada pelaksanaan kaedah pusingan-U di Tambun, ia melibatkan peruntukan kira-kira RM10 bagi laluan sehingga 8 kilometer.

“Kos berkenaan membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan, pengindahan, landskap, serta pencahayaan,” katanya lagi.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember lalu, Mohammad Nizar dilaporkan berkata, JKR Perak melakukan kajian untuk mengurangkan lampu isyarat di sepanjang laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut bagi melancarkan lagi aliran trafik di Jalan Persekutuan itu.

Lebuhraya sepanjang 70 kilometer itu menghubungkan beberapa kawasan dan daerah di Negeri Perak antaranya Ipoh, Batu Gajah, Perak Tengah, serta Manjung. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

AHTV mampu jadi hab automotif bertaraf global

Syarikat elektronik Jepun mahu tambah pelaburan di Perak – Saarani

MGPerak: Perak Sedia Rancang Pembangunan Infrastruktur Baru, Perkenal Bas, Teksi Elektrik

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI