IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) memperuntukkan RM1.18 juta dana zakat bagi pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A) yang melibatkan 105 peserta bagi tahun ini.
Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar berkata, sejak Proper A dilaksanakan, 95 peratus daripadanya berjaya bekerja mengikut empat bidang di bawah latihan keusahawanan tersebut.
Menurutnya, empat bidang tersebut adalah urutan dan refleksologi 30 peserta, kulinari dan pastri (30), penternakan lebah kelulut (15) dan gunting rambut (30).
“Kursus yang diadakan ini bagi membantu peserta bagi meningkatkan pendapatan atau taraf hidup. Program usahawan ini kita latih mereka untuk menjadi usahawan yang mahir dalam bidang masing-masing.
“Menerusi program ini mereka sama ada akan menjadi pekerja mahir ataupun mereka boleh meniaga sendiri. Sebab kita beri mereka bantuan dalam bentuk peralatan.
“Satu lagi bidang adalah kemahiran. Bidang kemahiran ini kita fokus kepada ahli-ahli isi rumah yang terdiri daripada anak-anak asnaf dalam kalangan belia yang diberi latihan-latihan kemahiran seperti TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
“Ia diiktiraf oleh pihak kerajaan seperti yang dapat pengiktirafan SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) Dua, Tiga dan seterusnya dan mereka akan ditempatkan di dalam industri yang telah ditetapkan.
“Kalau program latihan kemahiran MAIPk ini kita buat konsep train and place. Maknanya mereka berlatih dalam bidang-bidang yang telah kita tetapkan bagi tahun itu dan ditempatkan dalam industri mengikut kehendak pasaran,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Peyerahan Peralatan Bantuan Perniagaan dan Pelancaran Penjenamaan Kumpulan Terapis Proreflexy Bagi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A 2024) di Hotel Excelsior, di sini pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Rohizan tidak menolak kemungkinan MAIPk akan menyediakan kursus baharu di bawah Proper A pada tahun hadapan.
“InsyaALLAH kita dalam perancangan sekarang ini. Mungkin bidang-bidang yang kita nampak dapat sambutan kita akan teruskan dan kita akan fikirkan mungkin ada bidang-bidang yang baharu,“ jelasnya.
Sementara itu, salah seorang peserta kursus urutan dan refleksologi, Nor Hayati Sarif, 40, dari Sungai Manik, Teluk Intan berkata, Proper A secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran dan menambah pendapatannya.
Ibu tunggal kepada lima orang ini berkata, menerusi kursus tersebut dia tekad untuk memajukan dirinya serta berhasrat untuk mempunyai kedai urutan dan refleksologi pada masa hadapan.
“Kalau boleh saya nak ada kedai sendiri. Sepanjang enam bulan mengikuti kursus ini, ilmu yang diberikan sangat mantap daripada guru-guru dan kawan-kawan juga banyak beri kerjasama yang sangat terbaik,“ ujarnya.
Proper A adalah latihan dalam bidang keusahawanan yang diwujudkan sejak 2016 khusus untuk golongan asnaf bagi membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: