Maipk peruntuk lebih RM20 juta menerusi Proper A sejak 2016

IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), telah membelanjakan lebih RM20 juta menerusi Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf (Proper A), sejak ia diperkenalkan pada tahun 2016.

Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar berkata, sejak Proper A dilaksanakan, lebih 2,000 peserta menyertai program tersebut dan kira-kira 60 peratus daripadanya berjaya keluar dari kepompong kemiskinan.

Menurutnya, program ini dirangka khusus untuk membantu dalam kalangan asnaf bagi mengembangkan potensi mereka dalam bidang perniagaan.

“Menerusi program ini, kita akan mengembangkan bakat dan kemahiran peserta dalam dunia perniagaan supaya mereka boleh mendapatkan hasil daripada perniagaan untuk menyara diri dan keluarga.

“Di samping itu, kita berharap dapat merealisasikan matlamat akhir supaya mereka menjadi pembayar zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kit Permulaan Perniagaan kepada Peserta Proper A Kursus Gunting Rambut Lelaki dan Wanita 2024 di Hotel Weil, di sini semalam.

Hadir sama, Pengasas dan Pengurus D Alam Group, Rosdziah Mohd Zainudin.

Maipk peruntuk lebih RM20 juta menerusi Proper A sejak 2016
Pengurus Besar Bahagian Agihan Zakat MAIPk, Rohizan Omar (dua dari kanan) hadir pada Majlis Penyerahan Kit Permulaan Perniagaan Perniagaan Kepada Peserta Proper A Kursus Gunting Rambut Lelaki dan Wanita 2024 di Hotel Weil, di sini semalam. Foto ihsan MAIPk

Rohizan berkata, ada dalam kalangan peserta yang dikesan sudah mula membayar zakat selepas berjaya dalam perniagaan yang diceburi.

“Kita ada mengesan antara 200 ke 300 peserta yang sudah mula membayar zakat. Walaupun mereka tidak ramai tetapi sekurang-kurangnya mereka sudah mula untuk bayar (zakat), sama ada secara bulanan atau tahunan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut menekankan elemen digital dalam setiap kursus yang disediakan.

“Kita memang tekankan supaya elemen digital ini dimasukkan juga oleh penyedia latihan untuk melatih mereka supaya tidak ketinggalan dalam bidang teknologi maklumat serta pemasaran secara online dan offline.

“Justeru, mereka boleh menggunakan kelebihan yang ada dalam media sosial seperti Facebook, Tiktok dan Instagram untuk memasarkan produk dan perkhidmatan yang disediakan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rohizan berkata program yang dianjurkan MAIPk dan D’ Alam Academy itu melibatkan 30 peserta lelaki dan wanita.

Tambahnya, setiap peserta akan diberikan RM5,000 meliputi pembiayaan kursus dan kit permulaan perniagaan gunting rambut.

“Pada tahun ini terdapat empat kursus dilaksanakan iaitu urutan dan refleksologi 30 peserta, kulinari dan pastri (30), penternakan lebah kelulut (15) termasuk gunting rambut (30),” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MAIPk lahirkan lebih 400 usahawan menerusi Proper A

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI