IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) tidak mengiktiraf kad perakuan nikah yang dikeluarkan atas nama Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia dari sudut perundangan negara.
Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, isu perkahwinan masyarakat Rohingya kini sedang diberi perhatian serius di peringkat kebangsaan susulan arahan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja supaya penyelesaian segera dicari.
Berikutan itu, berliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama jabatan agama Islam negeri-negeri bagi mencari mekanisme terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan yang melibatkan aspek nasab (keturunan) serta dokumentasi.
“Kita ke arah untuk memberikan keizinan untuk mereka sesama mereka berkahwin, bukan dengan orang tempatan. Maknanya Rohingya dengan orang Rohingya sahaja. Tapi dengan syarat, mereka kena ada DPP, iaitu Dokumen Pendaftaran Pelarian.
“Mereka kena ada (DPP) baru boleh untuk dikahwinkan dan didaftarkan. Maksudnya yang menjadi pendaftar dan sebagainya adalah daripada pihak yang berautoriti ataupun pihak yang telah diwakilkan oleh pemerintah agamalah, oleh Sultan, kepada orang yang menjadi pendaftar ataupun penolong-penolong pendaftar untuk menikahkan mereka ini.

“Bukan sesama mereka (menguruskan sendiri). Kad itu tidak sahlah kiranya dari segi undang-undang. InshaAllah kita doakan secepat mungkin perkara ini akan diselesaikan,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 4 Tahun 2026, di Stadium Indera Mulia, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Harith Fadzilah menegaskan bahawa urusan berkaitan agama Islam berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan status kad perakuan nikah yang telah dikeluarkan sebelum ini tidak mempunyai pengiktirafan dari sudut undang-undang.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat aduan berkaitan kes berkenaan di Perak, beliau berkata pihaknya ada mendengar mengenai perkara tersebut namun tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kerana penyelesaian menyeluruh sedang diusahakan.
Baru-baru ini, tular di media sosial sekeping ‘Kad Perakuan Nikah‘ yang dikeluarkan atas nama Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia yang mencetuskan pelbagai reaksi daripada rakyat mempersoalkan status, kuasa dan kesahihan dokumen berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Isu Rohingya: Serah pada polis, jangan bertindak sendiri


