IPOH – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap etnik Rohingya bagi mengelakkan perlanggaran undang-undang atau mencetuskan ketegangan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, sebarang tindakan terhadap individu yang melakukan kesalahan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira latar belakang mereka.
Menurutnya, setakat ini tiada aduan spesifik mengenai perkara berkaitan etnik Rohingya tapi jika mereka terlibat dalam jenayah, polis akan ambil tindakan berasaskan kepada undang-undang.
“Rohingya ini memang akan duduk sekelompok, dan pihak polis akan sentiasa melakukan pemantauan serta meninjau pergerakan mereka dari semasa ke semasa.
“Selain itu, pihak polis akan berbincang dengan kerajaan negeri jika ada sebarang salah laku atau keperluan bantuan polis
“Secara rasmi, memang belum ada lagi laporan (berhubung etnik Rohingya) yang diterima setakat ini,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Mes Pegawai Kanan Perak di sini hari ini.
Mengulas mengenai kempen ‘Mula Tangkap Rohingya’ yang tular di Facebook, Mohd Alwi menasihatkan masyarakat supaya tidak bertindak secara peribadi dan menyerahkan sebarang tindakan kepada pihak berkuasa.
“Biarlah pihak polis yang melihat perkara ini dan sekiranya ada salah laku dari pihak Rohingya ini, mereka (orang ramai) perlulah buat laporan polis terlebih dahulu supaya pihak polis boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang,” jelasnya.
Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan memantau segala isu berkaitan etnik Rohingya yang kebanyakannya dipercayai berada di daerah Manjung termasuk mengambil kira aspek keselamatan penduduk tempatan.
Katanya, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak pantau isu Rohingya, ambil kira keselamatan penduduk – MB


