Kemajuan sebenar negara diukur melalui kejayaan program sosial – Sultan Nazrin

IPOH – Kemajuan sebuah negara tidak boleh hanya diukur pada deretan pencakar langit, jejambat yang bersimpang siur, pelabuhan dan lapangan terbang yang besar, atau angka pertumbuhan ekonomi yang tinggi semata-mata.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sebaliknya kemajuan sebenar terletak pada keupayaan dan kesungguhan negara dalam negara memperkenalkan dan melaksanakan program-program sosial.

“Menjadi tuntutan fardu kifayah dan tanggungjawab keinsanan untuk kita berusaha membantu meringankan tanggungan, terhadap mereka yang menghadapi ujian Ilahi, ditimpa dugaan hidup.

“Kemajuan yang sebenar terletak pada keupayaan negara dan kesungguhan negara memperkenalkan dan melaksanakan program-program sosial.

“Ia untuk memelihara martabat insan, membela mereka yang lemah, dan menyediakan peluang kedua kepada sesiapa sahaja yang menghadapi nasib malang diuji dengan penyakit, kecederaan atau kehilangan upaya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Bandar Meru Raya, di sini, pada Selasa.

Terdahulu pada majlis baginda memperkenankan agar pusat rehabilitasi itu dimasyhurkan sebagai ‘Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah’.

Berangkat mengiringi Sultan Nazrin ke majlis, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Titah Sultan Nazrin, pusat rehabilitasi berkenaan bukan sekadar komplekas yang dilengkapi dengan peralatan moden namun, ia melambangkan usaha merealisasikan wawasan dan hasrat negara dalam mencanggihkan perkhidmatan rehabilitasi ke tahap yang lebih maju serta berteknologi tinggi.

Baginda bertitah, pusat berkenaan juga harus dilihat bahawa negara menghargai setiap pekerja serta simbol bahawa musibah bukan noktah terakhir kepada kehidupan.

Titah Sultan Nazrin lagi, semangat kemanusiaan dan keinsanan perlu dijadikan roh dalam menghidupkan pusat rehabilitasi tersebut dalam memberi harapan baharu kepada pesakit serta ahli keluarga.

Baginda bertitah, justeru itu Pusat Rehabilitasi PERKESO Sultan Nazrin Shah sewajarnya boleh mencanai minda pesakit dan keluarga mereka bahawa dengan rawatan yang tepat, seseorang itu mampu untuk bangkit semula.

Sultan Perak bertitah, semua pihak perlu menolak budaya melihat mereka yang mengalami kecederaan atau hilang upaya sebagai beban kerana mereka masih mampu menyumbang kepada negara melalui pengalaman mahupun kemahiran yang ada.

“Bagi seorang pesakit strok, pusat ini mungkin tempat untuk membantu mereka belajar menggerakkan semula anggota. Bagi pekerja yang mengalami kecederaan saraf, pusat ini mungkin tempat untuk membina semula kekuatan fizikal dan mental.

“Bagi seseorang yang mengalami kecederaan otak traumatik, pusat ini mungkin tempat untuk melatih semula daya ingatan, pertuturan dan keyakinan diri.  Dan bagi keluarga mereka, pusat ini boleh menjadi tempat untuk menyinarkan cahaya harapan

“Hargailah bahawa setiap insan mempunyai nilai, bakat, maruah dan potensi.  Apa yang mereka perlukan ialah sokongan, akses, latihan, peluang dan kepercayaan,” titah Sultan Nazrin.

Dalam pada itu baginda menyifatkan usaha yang dirintis PERKESO dan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven Malaysia) menerusi program latihan bekerja pasca rawatan untuk pesakit sebagai pendekatan strategik.

“Semoga lebih ramai pihak swasta tampil ke hadapan menawarkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan pusat-pusat rehabilitasi PERKESO, menawarkan latihan vokasional dan menyediakan peluang pekerjaan pasca rawatan rehabilitasi,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membangunkan pusat rehabilitasi berkenaan yang merangkumi pemikiran, idea, lakaran, perolehan, pembinaan, bekalan, kelulusan, latihan dan pengisian. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

7-Eleven, PERKESO jalin kerjasama bantu pencarum kembali bekerja

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI