KUALA LUMPUR – Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) mencatat sejarah apabila menerima seramai 1,213 pelajar baharu bagi Sesi I Tahun Akademik 2026/2027 sekali gus menjadi jumlah kemasukan tertinggi pernah direkodkan sejak institusi itu ditubuhkan pada tahun 2002.
Pencapaian tersebut dilihat sebagai bukti peningkatan keyakinan masyarakat terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang kini semakin menjadi pilihan utama generasi muda dalam membina kerjaya masa depan yang mampan serta memenuhi keperluan industri.
Kemasukan pelajar baharu yang memberangsangkan itu turut mencerminkan perubahan persepsi masyarakat terhadap TVET yang sebelum ini sering dianggap sebagai pilihan kedua.
Kini bidang berkenaan semakin mendapat perhatian kerana menawarkan pendidikan berkualiti, kemahiran berimpak tinggi dan kebolehpasaran graduan yang selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 serta ekonomi digital negara.
Lebih membanggakan, pelajar yang mendaftar di PSAS datang dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia termasuk Perak, Selangor, Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Perlis serta Sabah dan Sarawak.
Kepelbagaian latar belakang pelajar itu bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran di kampus, malah mewujudkan suasana harmoni yang dapat mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa.
Sebagai antara institusi TVET terkemuka negara, PSAS kini menawarkan 14 program diploma dan satu program ijazah sarjana muda. Sehingga kini, institusi itu telah melahirkan lebih 27,000 graduan yang menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.
Pengarah Politeknik Sultan Azlan Shah, Razali Johari berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh politeknik serta keberkesanan agenda pemerkasaan TVET yang dilaksanakan kerajaan.
“Rekod kemasukan seramai 1,213 pelajar baharu ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan. Ia membuktikan bahawa TVET bukan lagi pilihan alternatif, sebaliknya telah menjadi pilihan utama generasi muda yang melihat kemahiran sebagai aset penting untuk masa depan.
“Kami komited untuk terus melahirkan graduan berkemahiran tinggi, kompeten dan memenuhi keperluan industri negara serta global,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, bersempena pendaftaran pelajar baharu, PSAS turut melaksanakan Minggu Transformasi Siswa (MTS) bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, memahami sistem pembelajaran politeknik serta membentuk sahsiah dan jati diri sebagai mahasiswa TVET yang cemerlang.
Peningkatan ketara jumlah kemasukan pelajar itu diyakini mampu mengukuhkan lagi kedudukan PSAS sebagai institusi TVET pilihan utama negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. – MalaysiaGazette


