IPOH – Kerajaan Negeri mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak menjalankan siasatan berhubung dakwaan penduduk berkenaan aktiviti kuari yang menjejaskan kediaman mereka di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Batu 10, Chepor di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bertujuan bagi mengenal pasti punca sebenar kerosakan yang didakwa penduduk sebelum tindakan sewajarnya diambil.
“Kita akan minta PTG siasat dahulu kerana tidak pasti apa punca dia (kerosakan),” jawabnya ringkas ketika diminta mengulas isu berkenaan.
Saarani sebelum itu hadir pada Majlis Pelancaran Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
Media pada Khamis melaporkan lebih 30 keluarga di RPT Batu 10, Ulu Chepor dekat sini mendakwa aktiviti pengambilan mineral berhampiran kawasan kediaman mereka sejak beberapa tahun lepas, menyebabkan kerosakan kepada rumah serta menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan penduduk.
Penduduk mendakwa gegaran akibat aktiviti letupan dan pergerakan jentera berat selain habuk halus yang berterbangan menyebabkan kediaman lebih 30 keluarga daripada kira-kira 500 keluarga dikenal pasti mengalami pelbagai kerosakan. -MG Perak


