IPOH – Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat interpretasi (interpretive centre) di sini bagi memperkenalkan keunikan warisan geologi dan budaya Geopark Lembah Kinta kepada orang ramai.
Pemangku Pengarah PTNP, Lau Ching Fong berkata, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti lokasi paling sesuai supaya pusat tersebut mudah diakses dan dapat menarik kehadiran pengunjung.
Menurutnya, fungsinya sama seperti Galeri Lenggong Geopark iaitu sebuah Pusat Informasi Komuniti yang memberi maklumat berhubung Lembah Kinta kepada masyarakat tanpa mengira usia serta pelancong yang datang ke sini.
“Kita masih mencari tempat yang betul-betul sesuai kerana kita tidak mahu bina di kawasan yang orang pun tak tahu di mana.
“Lokasi itu perlu mempunyai nilai interaksi bersama masyarakat dan dapat menjadi tumpuan publik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Komuniti Geopark Kinta dan Kita di Gunung Lang Community Park, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sumber Mineral Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak, Mahat Sohon dan Penolong Pengarah Perancang Bandar Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Ahmad Hafif Shahraman.
Dalam pada itu, Ching Fong berkata, pusat interpretasi tersebut boleh menjadi tarikan baharu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap warisan geologi serta memperkukuh sektor pelancongan di kawasan itu.
Katanya, keunikan landskap batu kapur yang menjadi identiti utama bandar Ipoh perlu diberi tumpuan sebagai khazanah semula jadi yang mempunyai nilai ilmiah dan ekonomi.
“Sebab kalau kita datang ke Ipoh, perkara pertama yang kita nampak ialah landskap batu kapur. Kita juga tahu tentang Gua Tempurung yang memang sudah terkenal, selain gua-gua yang dijadikan tempat beribadah.
“Ipoh juga dikenali sebagai kawasan lombong timah utama dan itu semua berkenaan dengan warisan geologi.

“Tapi kita tidak ada satu tempat di mana orang ramai boleh datang melihat atau mendapatkan maklumat yang menyeluruh tentang bagaimana kawasan ini terbentuk, bagaimana dari dasar laut dahulu boleh terangkat ke sini,” ujarnya.
Beliau berkata, penubuhan pusat interpretasi itu diharap dapat menjadi medium pendidikan dan tarikan pelancongan baharu bagi memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki.
“Kita berharap pusat interpretasi ini dapat diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai dan dalam masa sama menjadi tarikan pelancongan.
“Dengan kekayaan sumber yang ada, kita boleh membangunkan produk-produk pelancongan yang berupaya memberi pulangan ekonomi,“ katanya.
Geopark Lembah Kinta adalah salah satu daripada 11 geopark kebangsaan di Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan daripada JMG dan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dan Jawatankuasa Pelaksana Geopark pada 2017. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Galeri Lenggong Geopark, sumber rujukan utama pelancong


