Galeri Lenggong Geopark, sumber rujukan utama pelancong

LENGGONG – Galeri Lenggong Geopark yang memulakan operasinya pada hari ini berperanan sebagai pusat sehenti dan sumber rujukan utama kepada pelancong yang berkunjung ke kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, galeri ini akan menempatkan pelbagai maklumat penting serta mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai Lenggong Geopark.

Menurutnya, selepas Lenggong diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021 pelbagai perubahan ketara dapat dilihat di sekitar lokasi tersebut.

“Dalam tempoh dua tahun sudah nampak perubahan begitu ketara. Satu aspek yang sangat penting bangunan Georpark Lenggong ini adalah apabila kita dapat lihat pelbagai institusi pengajian tinggi telah melibatkan diri dalam pelbagai kajian di sini.

“Ini sangat penting untuk membolehkan setiap tapak yang akan dilawati dan dibangunkan itu benar-benar berasaskan kepada fakta dan data yang tepat dan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengumumkan pembukaan Galeri Lenggong Geopark, Kota Tampan, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, sempena sambutan ulang tahun Lenggong Geopark galeri berkenaan dibuka untuk lawatan awam dan pihaknya sedang berusaha bersama kerajaan negeri mengatur acara sempena pengisytiharan Lenggong Geopark pada tahun hadapan.

“Kita berhasrat berkenan ke bawah duli Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk membuat pengisytiharan Lembah Geopark dan merasmikan galeri tersebut,” ujarnya.

Katanya, galeri tersebut sangat penting kerana menempatkan fakta-fakta dan kajian-kajian yang dilaksanakan serta menjadi pusat untuk menyalurkan pelbagai maklumat berkaitan.

“Menerusi galeri ini, pelancong boleh berkunjung ke geo tapak yang terdapat di sekitar kawasan  antaranya Bukit Bunuh, Geo Trail Tasik Raban, Geotapak Mata Air Telaga Biru, Debu Danau Toba dan sebagainya.

“Jadi, saya harap sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024, Lenggong akan menjadi satu daripada destinasi tumpuan pelancong,” jelasnya.

Projek pembinaan galeri yang berjumlah RM2.3 juta itu adalah sumbangan Yayasan Al Bukhary dan diluluskan sewaktu Shamsul Nasarah memegang jawatan Menteri Tenaga & Sumber Asli. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

NR-REE: Jawatankuasa Geopark sedia beri kerjasama penuh

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI