NR-REE: Jawatankuasa Geopark sedia beri kerjasama penuh

LENGGONG – Jawatankuasa Geopelancongan Lenggong Geopark sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika berlakunya aktiviti perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di daerah Hulu Perak.

Pengerusinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, jawatankuasa berkenaan bertanggungjawab membantu kerajaan negeri untuk memantau dan memelihara khazanah warisan sedia ada di daerah Hulu Perak termasuk Lenggong supaya kawasan tersebut tidak terjejas akibat aktiviti perlombongan haram itu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jawatankuasa terbabit tidak ada peranan khusus berkaitan perkara itu namun jika ada maklumat mereka akan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Kita tak ada peranan khusus tentang itu namun demikian saya percaya dengan kerajaan negeri yang mempunyai mekanisme sendiri untuk mengesan aktiviti (perlombongan haram) itu.

“Dari segi jawatankuasa Geopark, tidak ada tanggungjawab diberikan kepada kita. Cuma kalau ada maklumat yang diperolehi, kita akan melaporkannya.

“Ini kerana kita perlu menjaga alam sekitar dan sebarang perkara yang dilakukan tidak boleh mengganggu pembangunan dari aspek pelancongan yang dibuat di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengumumkan pembukaan Galeri Lenggong Geopark, Kota Tampan, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, jawatankuasa tersebut sentiasa memantau segala isu-isu berkaitan yang boleh menjejaskan Lenggong Geopark

“Kita perlu memantau isu-isu yang boleh menjejaskan kawasan ini kerana ia akan dinilai setiap empat tahun sekali oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) manakala penilaian bagi world heritage (tapak warisan dunia) adalah pada setiap lima tahun sekali.

“Oleh itu, kita mesti memastikan tidak ada elemen-elemen yang menyebabkan pengiktirafan itu ditarik balik,” jelasnya.

NR-REE: Jawatankuasa Geopark sedia beri kerjasama penuh
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah hadir pada Majlis Pembukaan Galeri Lenggong Geopark di Kota Tampan, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 DISEMBER 2023.

Sehubungan itu, Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berharap kerajaan negeri dan jawatankuasa berkaitan akan mengambil tindakan ke atas mereka yang melaksanakan perlombongan NR-REE secara haram.

“Memang kawasan di Parlimen Lenggong khususnya daerah ini di kawasan Gerik adalah kawasan NR-REE. Ini mineral yang berkualiti, yang strategik.

“Namun saya percaya pembangunan yang dibuat itu berasas dan meletakkan kepentingan dari segi alam sekitar dan sebagainya sebagai keutamaan, maknanya kita mengambil hasil tetapi aspek-aspek lain dijaga.

“Ia penting kerana kawasan ini ialah kawasan heritage (warisan) yang perlu dipelihara. Di samping kita mengambil mineral yang lebih tinggi untuk pembangunan ekonomi tapi aspek-aspek penjagaan alam sekitar juga diberi keutamaan dan saya cukup yakin ia dititik beratkan oleh kerajaan,” ujarnya.

Beliau turut berharap kerajaan negeri tidak membenarkan mana-mana pihak untuk mengambil hasil bumi tanpa kebenaran yang sah dan segala tindakan mesti mematuhi undang-undang.

Rabu lalu, MG Perak melaporkan, polis berjaya mengesan aktiviti perlombongan NR-REE yang dijalankan secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak dekat Gerik, pada Jumaat minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, aktiviti itu berjaya dikesan melalui Op Khazanah yang dijalankan bersama Jabatan Perhutanan di kawasan perlombongan haram NR-REE itu pada sekitar jam 3.30 petang.

Beliau berkata, susulan serbuan itu pihaknya berjaya menahan kesemuanya 31 individu termasuk 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari China, Myanmar dan Vietnam yang dipercayai terlibat dalam aktiviti tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

NR-REE: ‘Kami sedar ia ada di sini selepas baca berita

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI