NR-REE: ‘Kami sedar ia ada di sini selepas baca berita’

LARUT – Penduduk yang mendiami kawasan perkampungan berhampiran tidak menolak kemungkinan adanya unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hutan Simpan Bintang Hijau, di Hulu Perak.

Seorang penduduk yang tidak mahu dikenali berkata, perkara itu disedari susulan laporan berita berhubung penahanan 31 individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti perlombongan haram mineral itu pada Rabu.

“Selepas membaca laporan berita berkenaan perkara itu, saya tidak menolak kemungkinan adanya bahan mineral tersebut di dalam hutan simpan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, ia mungkin berada di kawasan atas bukit iaitu di tengah-tengah hutan simpan yang mana ia jauh dari jalan raya utama,”katanya ketika ditemui MG Perak, pada Khamis.

nr-ree hutan simpan bintang hijau hulu perak larut nadir bumi mineral penduduk kampung larut nr-ree hutan simpan bintang hijau hulu perak larut nadir bumi mineral penduduk kampung larut
Hutan Simpan Bintang Hijau, di Hulu Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 DISEMBER 2023.

Ketika ditanya tentang kejadian perlombongan haram itu, penduduk itu mendakwa perkara itu tidak diketahui mereka sebelum ini, sehingga ia terbongkar susulan tangkapan dan serbuan oleh pihak polis.

“Dalam tempoh beberapa bulan ini memang tidak kelihatan kenderaan atau individu yang mencurigakan di kawasan kampung kami ini,” ujarnya.

Pada masa sama, seorang lagi penduduk yang juga enggan dikenali memberitahu, keberadaan sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa di kawasan penempatannya turut menimbulkan tanda tanya.

Penduduk itu mendakwa, sekatan jalan raya berkenaan dikatakan telah diadakan sejak awal bulan ini.

nr-ree hutan simpan bintang hijau hulu perak larut nadir bumi mineral penduduk kampung larut nr-ree hutan simpan bintang hijau hulu perak larut nadir bumi mineral penduduk kampung larut
Sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa di kawasan perkampungan berhampiran Hutan Simpan Bintang Hijau, di Hulu Perak. Foto ABDULLAH YUSOF, 14 DISEMBER 2023.

“Amat jarang sekali sekatan jalan raya diadakan di kampung kami ini. Jika ada pun, ia hanya untuk satu tempoh yang singkat.

“Kali ini seolah-olah seperti sekatan jalan raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya tidak pasti sama ada ia ada kena mengena dengan isu perlombongan haram itu atau sebaliknya,” katanya lagi.

Sementara itu, hasil tinjauan MG Perak mendapati, tiada sebarang kesan laluan bagi kenderaan berat keluar masuk di sepanjang jalan yang menghubungkan Ijok, Selama dan Sumpitan, Lenggong di sekitar Hutan Simpan Bintang Hijau.

Pada 5 Disember, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan mengesahkan terdapat kecurian bahan mineral NR-REE di Hulu Perak.

Menurut Saarani, laporan polis berhubung perkara berkenaan telah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.

Susulan itu, pada Rabu, polis berjaya menahan 31 individu termasuk 21 warga asing kerana disyaki melakukan aktiviti penerokaan bahan mentah NR-REE secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, aktiviti itu berjaya dikesan melalui Op Khazanah yang dijalankan bersama Jabatan Perhutanan pada 8 Disember. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Polis kesan aktiviti perlombongan haram NR-REE di Gerik, 31 ditahan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI