Polis kesan aktiviti perlombongan haram NR-REE di Gerik, 31 ditahan

IPOH – Polis berjaya mengesan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang dijalankan secara haram di Hutan Simpan Bintang Hijau, Hulu Perak dekat Gerik, pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, aktiviti itu berjaya dikesan melalui Op Khazanah yang dijalankan bersama Jabatan Perhutanan di kawasan perlombongan haram NR-REE itu pada sekitar jam 3.30 petang.

Beliau berkata, susulan serbuan itu pihaknya berjaya menahan kesemuanya 31 individu termasuk 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari China, Myanmar dan Vietnam yang dipercayai terlibat dalam aktiviti tersebut.

Jelas Mohd Yusri, kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 23 hingga 69 tahun.

“Hasil serbuan di lokasi, polis melakukan tangkapan terhadap 28 individu iaitu sembilan daripadanya warga tempatan dan 19 warga asing.

“Susulan daripada itu, pihak polis turut berjaya menahan tiga individu lain yang dipercayai terlibat iaitu seorang warga tempatan dan dua warga asing di dua lokasi berasingan di Gerik,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Tambah Mohd Yusri, daripada jumlah yang ditahan, mereka terdiri daripada 10 lelaki tempatan, serta masing-masing 29 lelaki dan dua wanita warga asing.

Ujar beliau, kesemua tangkapan warga tempatan telah direman selama tiga hari manakala tangkapan warga asing pula direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), serta Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama dan maklumat yang diberikan oleh orang ramai kepada pihak berkuasa, khasnya pihak polis dalam memastikan keamanan negara kekal terpelihara.

“Justeru, pihak polis amat mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan keselamatan dengan menyalurkan maklumat tersebut ke balai polis berhampiran bagi tindakan selanjutnya,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika ditemui berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan lanjut berhubung perkara itu. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MB Perak sahkan kecurian NR-REE dan dalam siasatan polis 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI