MB Perak sahkan kecurian NR-REE dan dalam siasatan polis

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan terdapat kecurian bahan mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Hulu Perak.

Menurut Saarani, laporan polis berhubung perkara berkenaan telah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan siasatan.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu, enggan mendedahkan jumlah sebenar laporan polis yang dibuat berhubung kecurian NR-REE yang merupakan milik kerajaan negeri.

“Laporan ada pada pihak polis dan mereka lebih tahu daripada saya dan biarlah mereka membuat kerja mereka.

“Tapi kita memang mendapat maklumat bahawa terdapat kecenderungan sama ada orang di atas tanah individu ataupun dengan menggunakan kepakaran atau syarikat tertentu untuk masuk (kawasan NR-REE),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma (Inisiatif Program TCS), di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Saarani berkata, memandangkan umum mengetahui bahawa terdapat NR-REE di Hulu Perak, ramai pihak berminat untuk mengeluarkan bahan berkenaan menggunakan kaedah sendiri tanpa kelulusan.

Ujar beliau, tindakan sedemikian merupakan satu kesalahan memandangkan apa sahaja hasil bumi di negeri ini merupakan hak milik Kerajaan Negeri Perak dan perlu memperoleh pajakan melombong terlebih dahulu.

“Hasil bumi merupakan hak milik kerajaan negeri dna kerana itu ada disebutkan di dalam kertas Exco yang kita luluskan melibatkan tanah kepada mana-mana syarikat jika terdapat hasil bumi maka kerajaan perlu mengeluarkan hasil itu.

“Jadi saya hendak ingatkan kepada orang ramai yang saya tahu ramai berpusu-pusu ke Hulu Perak bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan NR-REE itu tanpa terlebih dahulu memperoleh pajakan melombang,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak sedang teliti kaedah untuk elak kecurian NR-REE

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI