Perak, kerajaan Persekutuan perkukuh undang-undang lindungi Pulau Sembilan

SUNGAI SIPUT – Kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan sedang berusaha memperkukuh aspek perundangan, penguatkuasaan serta konservasi bagi memastikan khazanah biodiversiti Taman Negeri Pulau Sembilan terus terpelihara.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, terdapat perbezaan dari segi bidang kuasa penguatkuasaan antara kawasan daratan dan perairan yang memerlukan penambahbaikan dari sudut perundangan supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, usaha itu termasuk menyelaras prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aspek perundangan bagi memastikan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan lebih jelas serta berkesan, khususnya dalam menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram.

“Kawasan laut berada di bawah bidang kuasa Persekutuan manakala daratan pula di bawah kerajaan negeri.

“Perbezaan ini menyebabkan wujudnya zon kelabu yang sering dimanfaatkan pihak tidak bertanggungjawab khususnya aktiviti penangkapan ika secara haram di kawasan itu untuk melepaskan daripada tindakan penguatkuasaan.

“Justeru, kerajaan negeri sedang dalam proses menaik taraf perundangan sedia ada, termasuk melibatkan pewartaan kawasan rizab dan kawasan perlindungan, supaya aspek penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan berkesan pada masa hadapan.

Pada masa ini, kita masih dalam proses perbincangan dan penyelarasan dengan kerajaan Persekutuan. Proses tersebut hampir selesai, namun masih memerlukan pewartaan dan beberapa prosedur berkaitan. Oleh itu, ia dijangka mengambil sedikit masa,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Sungai Siput Heritage Music Vibes Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di sini malam tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Suhaimi Abu Hassan Shari.

Dalam perkembangan sama, Loh berkata,usaha membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram di kawasan perairan itu turut berdepan beberapa kekangan, termasuk kesukaran mendapatkan bukti ketika operasi penguatkuasaan dijalankan.

“Dalam sesetengah kes, nelayan yang melakukan aktiviti penangkapan secara haram didapati memotong pukat mereka ketika menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, menyebabkan pukat berkenaan tenggelam ke dasar laut.

“Keadaan itu menyukarkan tindakan penguatkuasaan kerana bukti utama kegiatan tersebut tidak lagi dapat diperoleh.

“Lebih membimbangkan, pukat yang tenggelam turut berpotensi menyebabkan kerosakan terhadap batu karang serta menjejaskan ekosistem marin di kawasan berkenaan.

“Kerosakan terhadap terumbu karang seterusnya boleh memberi kesan kepada habitat dan hidupan marin yang bergantung kepada ekosistem tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan biodiversiti di Taman Negeri berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan perlu diperkukuh secara menyeluruh, bukan sahaja melalui penambahbaikan perundangan, tetapi turut membabitkan usaha pemuliharaan dan perlindungan ekosistem marin.

Sebelum ini, media melaporkan Taman Negeri Pulau Sembilan ditutup kepada umum pada 1 April 2017 bagi membendung tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak menceroboh dan merosakkan flora dan fauna yang terdapat di pulau berkenaan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

81 tukun tiruan dilabuhkan di Pulau Pangkor, Rungkup dan Pulau Sembilan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI