IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) berjaya mendominasi pelbagai kategori utama dalam Premier Digital Tech Institutions (PDTI) Outstanding Award 2025 yang diadakan semalam.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan PUO sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perdana dalam melahirkan bakat digital yang kompetitif di peringkat kebangsaan.
Anugerah anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ini merupakan pengiktirafan tertinggi buat institusi pengajian tinggi yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam memperkasa ekosistem pendidikan digital, inovasi, dan pembangunan bakat teknologi negara.
Antara anugerah yang diterima adalah Best Outstanding Department (Polytechnic), Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK); Best Outstanding Tech Club, Kelab Teknologi Digital; Best Outstanding Faculty Member, Ts. Mazlina Md Mustaffa dan Second Place Outstanding Student, Muhammad Akmal Harith Alias.
Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh, menzahirkan rasa bangga dan syabas atas pencapaian luar biasa serta menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti bahawa warga PUO memiliki daya saing yang tinggi di peringkat nasional.
”Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh warga JTMK serta para pemenang. Kejayaan ini bukan sekadar satu kemenangan, tetapi manifestasi kecemerlangan budaya kerja di PUO.
“Ia membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul dalam melahirkan bakat digital yang memenuhi piawaian industri global.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga Politeknik untuk terus memacu kecemerlangan dalam bidang masing-masing demi memartabatkan nama PUO sebagai Apex Polytechnic,” katanya.
Sementara itu, Ketua JTMK, Ts Ainie Hayati Noruzman meluahkan rasa terharu dan syukur atas pengiktirafan yang diberikan kepada jabatan dan pasukannya.
“Syukur atas kejayaan ini, hasil komitmen dan kerja berpasukan seluruh warga JTMK. Pengiktirafan ini membuktikan budaya inovasi kita selaras dengan keperluan industri semasa.
“Terima kasih atas sokongan semua pihak; moga pencapaian ini membakar semangat kita untuk terus memartabatkan kecemerlangan TVET digital di persada negara,” ujarnya.
Majlis penganugerahan tersebut telah disempurnakan Pengurus Kanan (Bakat Digital), Jabatan Bakat Digital dan Keusahawanan MDEC, Nik Hishamuddin Nik Mohd Yusof. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JTMK PUO hargai keprihatinan PAKIS santuni pelajar melalui program iftar


