IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus mengorak langkah dalam memperkukuh keupayaan teknologi dengan meneroka peluang kerjasama dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) di peringkat antarabangsa menerusi lawatan strategik ke Nanning, China.
Timbalan Pengarah Akademik PUO, Norman Zamri berkata, pihaknya mengadakan lawatan ke Pusat Pameran dan Pusat Data Guangxi Hande Group Co Ltd (Hande Group) iaitu sebuah syarikat terkemuka dalam pembangunan teknologi di negara tersebut.
Menurutnya, lawatan itu bertujuan untuk memahami kemajuan terkini dalam teknologi AI serta membuka ruang kepada kerjasama dalam aspek latihan dan penyelidikan yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Dalam lawatan tersebut kami berpeluang meninjau secara langsung operasi syarikat tersebut yang memimpin dalam inovasi AI, melibatkan sektor pembuatan, pertanian, automasi dan pendidikan.
“Teknologi yang dipamerkan turut memberi inspirasi kepada PUO dalam menerapkan pendekatan baharu bagi memperkasakan pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya turut mengadakan kunjungan hormat ke Guangxi University, Guangxi Vocational and Technical College of Finance serta Guangxi Vocational and Technical College of Industry.
“Perbincangan yang diadakan memberi peluang kepada PUO untuk meneroka model pembelajaran serta infrastruktur sokongan pendidikan AI yang diterapkan di institusi-institusi ini.
“Kerjasama dengan entiti antarabangsa seperti Hande Group dan institusi pendidikan di China membuka ruang kepada PUO untuk membawa teknologi AI ke dalam bilik darjah dan makmal di Malaysia.
“Teknologi AI bukan sekadar alat bantu pembelajaran, tetapi pemacu transformasi dalam kaedah pengajaran, menjadikan proses pembelajaran lebih efisien, interaktif, dan relevan dengan keperluan industri semasa.
“Justeru, PUO komited untuk membawa manfaat teknologi ini kepada pelajar serta tenaga pengajar di sini,” ujarnya.
Norman turut memaklumkan delegasi Hande Group juga telah mengadakan lawatan balas ke PUO bagi meninjau fasiliti termasuk makmal dan pusat penyelidikan serta mengenal pasti potensi kolaborasi dalam membangunkan tenaga mahir dalam bidang AI.
“Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang bagi pelajar dan tenaga pengajar PUO dalam meneroka aplikasi teknologi canggih untuk meningkatkan daya saing pendidikan TVET di peringkat global,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
10 pelajar PUO laksana CSR pembersihan penyaman udara masjid, sekolah