IPOH – Luaran nampak seperti rumah kedai biasa namun siapa sangka terdapat pusat hiburan karaoke khusus untuk warga Myanmar yang turut menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) senegaranya.
Bagaimanapun, pusat hiburan yang beroperasi secara haram itu terbongkar dalam dua serbuan yang dijalankan serentak di sekitar bandar raya ini melibatkan 30 pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, serbuan yang dijalankan di dua lokasi berbeza melibatkan empat premis itu telah menahan 39 warga Myanmar terdiri daripada 20 lelaki dipercayai pelanggan dan 19 wanita disyaki GRO.
Menurutnya, kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 35 tahun.
“Berdasarkan intipan dan maklumat yang diperoleh daripada orang awam, kita syaki premis ini telah beroperasi lebih kurang enam bulan lalu.
“Mereka melakukan promosi menerusi media sosial dan salah satunya adalah laman Facebook yang ditawarkan khusus kepada pelanggan lelaki Myanmar sahaja.
“Harga setiap bilik ditawarkan adalah antara RM450 ke RM600 termasuk bagi tujuan untuk mendapatkan perkhidmatan GRO dan hidangan minuman keras.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti persundalan serta tawar menawar harga antara pelanggan dan GRO namun mereka tidak melakukannya di premis berkenaan.
“Ini adalah kes pertama seumpamanya di Perak,” katanya ketika ditemui pada sidang media awal pagi tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, premis tersebut turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi melihat aktiviti keluar masuk pelanggan dan sebagai persediaan jika diserbu pihak berkuasa.
“Siasatan turut mendapati mereka akan tapis dulu (pelanggan) dalam kalangan warga Myanmar tadi dan bukan semua dibenarkan masuk ke premis berkenaan.
“Premis ini dipercayai mempunyai pelanggan tetap dan turut menjemput pelanggan-pelanggan yang baru,” ujarnya.
Sehubungan itu, Meor Hezbullah berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Meru, di sini.
“Kes akan disiasat mengikut Seskyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Imigresen tahan remaja warga asing cuba mohon pasport Malaysia