IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali pada usia 100 tahun sebagai satu kehilangan besar buat keluarga dan seluruh rakyat Malaysia.
Saarani berkata, Allahyarhamah yang juga tokoh perubatan dan kesihatan awam negara telah banyak menabur jasa serta bakti kepada masyarakat sepanjang hayatnya.
Menurut beliau, sumbangan Tun Dr. Siti Hasmah khususnya dalam bidang kesihatan ibu dan anak serta kebajikan masyarakat akan terus dikenang.
“Pemergian Allahyarhamah merupakan satu kehilangan besar buat keluarga dan seluruh rakyat Malaysia.
“Jasa serta sumbangan beliau, khususnya dalam bidang kesihatan ibu dan anak serta kebajikan masyarakat akan terus dikenang,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Saarani turut merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga Allahyarhamah atas pemergian berkenaan.
Beliau mendoakan agar keluarga Allahyarhamah diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita itu.
“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini,” katanya.
Saarani turut mendoakan agar Allah S.W.T. mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh.
Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah merupakan tokoh perubatan negara yang dikenali menerusi sumbangan dalam bidang kesihatan awam, khususnya berkaitan kesihatan ibu dan anak serta kebajikan masyarakat.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Madani akan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarhamah, yang meninggal dunia pada usia 100 tahun di IJN jam 9.20 pagi tadi.
Jenazah Allahyarhamah dijadual dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya petang ini. -MG Perak


