Raja, Ratu Pecut milik atlet UPSI

TANJUNG MALIM – Dua atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mendominasi acara pecut 100 meter lelaki dan wanita sekali gus menyapu gelaran Raja dan Ratu Pecut pada Kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Sirkit 2 di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu pada Jumaat.

Danish Iftikhar Muhammad Roslee mempamerkan prestasi cemerlang dalam acara akhir 100 meter dengan catatan masa 10.32 saat di samping berjaya mencipta rekod baharu untuk acara tersebut.

Sementara rakan sepasukan beliau, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka turut melakar kejayaan gemilang dengan merangkul gelaran acara sama kategori wanita selepas mencatat masa 12.12 saat, menewaskan peserta dari institusi pengajian tinggi lain.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, kejayaan berganda itu membuktikan dominasi UPSI dalam acara pecut.

“Kemenangan berganda ini membuktikan keunggulan UPSI dalam acara pecut dan menjadi pembuka tirai yang cemerlang buat kontinjen universiti tersebut pada kejohanan edisi kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Kelab Olahraga UPSI, Ali Zainal Abidin Lokman berkata, kejohanan tersebut merupakan antara platform terbaik dalam mencungkil bakat-bakat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam acara trek dan balapan.

Malah kata beliau, penyertaan atlet dari IPT seluruh negara dalam VTF Sirkit 2 menjadi medan pemilihan dan pembangunan sukan masa depan negara.

“Kejayaan itu membakar semangat seluruh atlet UPSI untuk bersaing di pentas nasional dan antarabangsa,” ujarnya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

26 atlet Perak terima insentif RM24,350

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI