KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli tidak menilai kritikannya terhadap PKR sebagai tindakan melawan parti sendiri.
Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Pandan berkenaan, beliau bersuara kerana berasakan tanggungjawabnya lebih besar kepada rakyat berbanding keselesaan mana-mana individu di dalam parti.
Ujarnya, rakyat tidak menghantar wakil rakyat ke Putrajaya untuk sekadar menjadi yes man, tetapi menghantar untuk membuat keputusan yang betul, dan untuk bersuara apabila prinsip mula dilanggar.
Dalam masa sama, tambahnya, beliau juga tidak mahu suatu hari nanti, namanya dijadikan alasan untuk budaya politik yang buruk.
“Jangan nanti orang kata, kalah pun boleh kekal jadi Menteri.
“Bagi saya, kalau mandat itu dah tak ada, kita kena hormat proses.
“Kalau tidak, kita ajar generasi selepas ini bahawa prinsip boleh diketepikan asalkan jawatan masih ada,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi menambah, di dalam parti, situasi yang disebut stres test adalah penting untuk memperlihatkan sama ada parti itu benar-benar bersedia berdepan ujian.
Jelasnya, teguran yang berasaskan fakta dan menyentuh soal integriti serta dasar akan menampakkan sama ada sesebuah parti termasuk PKR masih kuat atau sebenarnya nyawa-nyawa ikan.
“Kalau tak tahan stres test, rakyat akan tahu. Dan bila rakyat tahu, mereka akan mula mencari jalan lain,” katanya. – MalaysiaGazette


