SHAH ALAM – Lebih ramai nama-nama besar pemimpin politik dijangka menyertai UMNO dalam usaha menyokong dan mendukung konsep ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka yang berminat menyertai UMNO itu telah meluahkan hasrat tersebut ketika pertemuan secara tidak rasmi bersamanya.
Menurut beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, ia satu senario positif susulan keputusan parti baru-baru ini yang secara rasmi menerima semula 6,252 bekas pimpinan dan ahli yang sebelum ini pernah dipecat, digantung atau keluar daripada parti secara sukarela.
“Saya menjangkakan lebih ramai lagi nama-nama besar yang akan menyertai UMNO.
“Mereka telah bertemu dengan saya secara tidak rasmi dan kita telah mempermudahkan permohonan dengan hanya menulis surat untuk menyatakan hasrat kemasukan.
“Kita telah membuat keputusan bahawa permmohon-pemohon ini tidak perlu dirujuk oleh jawatankuasa Rumah Bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian RisSMart Grocer yang pertama di Urban Eats@Kwasa Damansara di sini hari ini.
Baru-baru ini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Melaka memutuskan untuk menerima kembali Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin (KJ) serta Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO untuk menyertai semula parti semula di bawah gagasan Rumah Bangsa.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut mengakui terdapat ramai bekas pemimpin UMNO yang kini bersama pembangkang datang bertemunya apabila turut menyuarakan hasrat untuk kembali ke parti itu.
“Ramai, ramai, ramai yang jumpa tetapi untuk jaga air muka saya tak perlu sebutkan namanya di sini.
“Kita mengalu-alukan semua pihak tanpa syarat untuk menyertai UMNO melalui Rumah Bangsa,” katanya.
Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Januari lalu, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa UMNO menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk menerima kembali mana-mana bekas ahli. – MalaysiaGazette


