Razman direhatkan cerminan jelas PAS, PN di Perak bergolak

IPOH – Tindakan Pas merehatkan Razman Zakaria sebagai Pesuruhjaya PAS Perak bukan sekadar keputusan dalaman parti, tetapi cerminan jelas ketidaktentuan hala tuju pembangkang di Perak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi berkata, situasi berkenaan jelas menunjukkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini semakin goyah, kehilangan arah dan gagal membuktikan bahawa mereka mampu menjadi alternatif yang kredibel kepada rakyat.

Menurut beliau, merehatkan individu tertentu tidak akan mengubah hakikat bahawa pembangkang di Perak berada dalam keadaan kucar-kacir.

Malah katanya, rakyat tidak akan lupa bagaimana Pas dan PN gagal memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif, sebaliknya hanya menabur kebencian dan memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

“Razman selama ini menjadi simbol politik kebencian dan retorik kosong. Dari memainkan sentimen kaum dan agama, hingga menyerang pemimpin kerajaan dengan fitnah yang tidak berasas—akhirnya strategi ini memakan diri sendiri.

“PAS nampaknya sedar bahawa corak politik sebegini tidak lagi relevan, tetapi soalnya, adakah mereka benar-benar mahu berubah atau ini sekadar strategi kosmetik,” soalnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Zaim berkata, AMK Perak ingin mengingatkan rakyat negeri ini bahawa politik bukan sekadar retorik, tetapi tentang rekod dan keberkesanan kepimpinan.

Jelas beliau, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad telah membuktikan komitmen dalam membangunkan negara dan negeri dengan dasar-dasar yang inklusif dan berorientasikan kebajikan rakyat.

“Jangan tertipu dengan sandiwara politik mereka. Hari ini mereka rehatkan Razman, esok mereka boleh kembali dengan strategi baharu untuk memperdayakan rakyat.

“Apa yang kita mahukan ialah politik yang matang, bertanggungjawab, dan benar-benar membawa perubahan kepada negeri ini,” katanya.

Tegas beliau, AMK Perak akan terus menjadi benteng untuk mempertahankan kesejahteraan rakyat dan memastikan Perak tidak kembali ke tangan golongan yang hanya tahu bermain politik tanpa memberi manfaat kepada rakyat. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tindakan Pas rehatkan Razman permulaan bersihkan imej Islam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI